Anjing hilang 529 hari di Pulau Kangaroo akhirnya diselamatkan

Anjing hilang 529 hari di Pulau Kangaroo akhirnya diselamatkan

ANJING yang diberi nama Valerie hilang selama 529 hari sebelum diselamatkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Selepas 529 hari menjadi buruan, Valerie, anjing baka dachshund miniatur yang terkenal di Australia, akhirnya diselamatkan oleh pasukan penyelamat hidupan liar.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di TikTok pada malam Jumaat, Kangala Wildlife Rescue berkata, anjing berkenaan kini dalam keadaan sihat dan bersedia untuk dipertemukan semula dengan pemiliknya.

“Kami amat gembira dan berasa lega kerana Valerie akhirnya selamat serta dapat memulakan proses kembali ke pangkuan keluarganya,” kata kumpulan itu.

Valerie dilaporkan hilang pada November 2023 ketika pemiliknya, pasangan dari New South Wales, Georgia Gardner dan Josh Fishlock, sedang bercuti di Stokes Bay, sebuah kawasan pantai yang terkenal di Pulau Kangaroo yang turut dikelilingi ladang dan belukar tebal.

Anjing kecil itu melarikan diri dari kandangnya di tapak perkhemahan sebelum bersembunyi di dalam kawasan semak dan usaha mencari yang melibatkan penduduk tempatan pada ketika itu gagal menemukannya.

Pada Mac lalu, beberapa laporan penampakan Valerie mula diterima, termasuk satu gambar yang menunjukkan telinganya kelihatan di celah-celah rumput kering.

Sukarelawan dari Kangala Wildlife Rescue menggunakan kamera pengawasan, perangkap dan umpan bagi mengesan Valerie.

Walaupun berjaya merakam video keberadaannya, usaha menangkapnya terus berdepan cabaran.

Menurut penduduk tempatan, keluasan Pulau Kangaroo adalah enam kali ganda lebih besar daripada Singapura dan terkenal dengan persekitaran liar, termasuk pantai terpencil, lawatan ikan paus, pokok yang condong akibat angin kencang serta kawasan hutan yang pernah terbakar.

Cerita tentang Valerie mendapat perhatian media antarabangsa termasuk The New York Times, The Times di United Kingdom, dan The Independent yang memuji ketahanan luar biasa anjing tersebut.

Selepas lebih 1,000 jam usaha sukarelawan dan perjalanan melebihi 5,000 kilometer mengelilingi pulau tersebut, Valerie akhirnya ditangkap menerusi operasi yang melibatkan penggunaan kamera dan perangkap khas. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN