WASHINGTON: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang dikenal pasti sebagai anak kepada Timbalan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) dilaporkan terkorban di timur Ukraine pada April tahun lalu ketika bertempur di bawah kontrak tentera Rusia.
Menurut siasatan yang dijalankan oleh media bebas Rusia, iStories, mangsa, Michael Alexander Gloss, 21, disahkan meninggal dunia pada 4 April 2024 di Eropah Timur, sebagaimana dinyatakan dalam notis kematian yang diterbitkan oleh keluarganya.
Gloss merupakan anak kepada Juliane Gallina yang baru dilantik sebagai Timbalan Pengarah bagi Inovasi Digital di CIA pada Februari 2024.
Di laman media sosial, bekas pemain bola sepak sekolah tinggi dan anak kepada pasangan tentera tersebut menggambarkan dirinya sebagai penyokong dunia multipolar.
iStories melaporkan, Gloss adalah antara lebih 1,500 warga asing yang telah menandatangani kontrak dengan tentera Rusia sejak Februari 2022.
Pangkalan data pejabat pendaftaran tentera yang bocor menunjukkan dia menandatangani kontrak tersebut pada September 2023 dan kemudiannya dikerahkan ke unit serangan di barisan hadapan pada Disember tahun sama.
Semasa di universiti, Gloss aktif dalam gerakan kesamarataan jantina dan protes alam sekitar selain turut menyertai Rainbow Family, sebuah kumpulan protes alam sekitar berhaluan kiri, dan pada 2023 berangkat ke Hatay, Turkiye bagi membantu operasi pemulihan pasca gempa bumi yang meragut lebih 56,000 nyawa.
Dalam tempoh itu, Gloss dikatakan semakin marah terhadap AS berikutan sokongan negara itu terhadap Israel dalam konflik Gaza.
Menurut seorang kenalan, semasa berada di Turkiye, Gloss mula menunjukkan minat berhijrah ke Rusia dan selepas memperoleh visa, dia mengembara ke seluruh negara itu sebelum tiba di
Moscow dan menyertai tentera sejurus sebelum dokumen perjalanannya tamat tempoh.
Foto dan video yang diperoleh iStories menunjukkan Gloss menjalani latihan ketenteraan di sebuah kem bersama kebanyakan askar kontrak dari Nepal dan tiga bulan selepas mendaftar, beliau dihantar ke Ukraine sebagai anggota batalion serangan.
Bagaimanapun, butiran mengenai kematiannya masih tidak diketahui dan setakat ini, tidak dapat dipastikan juga sama ada pihak Rusia menjalankan pemeriksaan latar belakang terhadap Gloss atau menyedari tentang identiti ibunya sebagai pegawai kanan CIA. – AGENSI