WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan Washington memiliki dan mengendalikan loji kuasa nuklear Ukraine sebagai sebahagian daripada usaha terbaharu untuk mencapai gencatan senjata bagi menghentikan pencerobohan Russia.
Cadangan itu dikemukakan dalam perbincangan menerusi telefon dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky semalam.
“Trump membincangkan tentang bekalan elektrik dan loji tenaga nuklear Ukraine dan berkata Washington mampu membantu dalam mengendalikan loji-loji tersebut.
“Pemilikan AS terhadap loji-loji ini akan menjadi perlindungan terbaik untuk infrastruktur tersebut.
“Trump juga berjanji untuk membantu Kyiv mendapatkan lebih banyak peralatan pertahanan udara dari Eropah serta mencari kanak-kanak Ukraine yang diculik oleh Russia,” kata Penasihat Keselamatan Negara, Mike Waltz dan Setiausaha Negara, Marco Rubio dalam kenyataan bersama.
Dalam pada itu, Zelensky memaklumkan, Kyiv bersedia untuk menghentikan serangan ke atas rangkaian tenaga dan infrastruktur Russia, sehari selepas Presidennya, Vladimir Putin bersetuju untuk menghentikan serangan serupa ke atas Ukraine.
Zelensky berkata, beliau turut membincangkan cadangan pengambilalihan loji kuasa oleh Trump.
“Kami hanya bercakap mengenai satu loji kuasa yang kini di bawah pendudukan Russia,” kata Zelensky ketika lawatan rasmi ke Finland semasa taklimat dalam talian, merujuk kepada loji di Zaporizhzhia.
Tambahnya, beliau ini tidak merasakan sebarang tekanan daripada Trump untuk membuat sebarang konsesi kepada Russia.
Namun, gencatan senjata yang lebih meluas masih sukar dicapai selepas Putin menegaskan dalam panggilan telefonnya dengan Trump bahawa Barat mesti menghentikan semua bantuan ketenteraan kepada Ukraine terlebih dahulu.
Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan kesediaan mereka untuk menghantar tentera ke Ukraine.-AFP










