Trump beli kereta Tesla tanda sokong Elon Musk

Trump beli kereta Tesla tanda sokong Elon Musk

trump
DONALD Trump dan Elon Musk melihat kenderaan Tesla di Padang Selatan Rumah Putih di Washington kelmarin.- AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan membeli sebuah kereta Tesla baharu dan menyalahkan pelampau kiri radikal kerana memboikot syarikat kenderaan elektrik milik Elon Musk.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Tesla mengalami kejatuhan saham terburuk dalam tempoh hampir lima tahun.

Trump dalam sidang media kelmarin, turut menyifatkan keganasan terhadap bilik pameran Tesla sebagai keganasan domestik.

“Saya akan hentikan semua ini kerana mereka menjejaskan sebuah syarikat AS yang hebat,” kata Trump bercakap di laluan masuk Rumah Putih bersama Musk.

Beberapa kenderaan Tesla diparkir untuk Trump memilih jenis kereta yang ingin dibelinya dan presiden itu memutuskan untuk membeli Model S berwarna merah, yang dibayar menggunakan cek.

“Elon Musk sedang mempertaruhkan segalanya demi membantu negara kita dan beliau melakukan kerja yang luar biasa.

“Tetapi seperti biasa, pelampau kiri radikal sedang berusaha untuk memboikot Tesla dan bersekongkol, semata-mata untuk menyerang Musk dan segala yang diperjuangkannya,” kata Trump di Truth Social pada Selasa.

Saham Tesla jatuh mendadak pada Isnin apabila pasaran bertindak balas terhadap ancaman kemelesetan dan rancangan tarif Trump.

Kejatuhan Tesla berlaku ketika protes besar-besaran tercetus terhadap pengaruh Musk dalam kerajaan persekutuan, termasuk demonstrasi di bilik pameran, kempen boikot, pemilik kenderaan menjual Tesla mereka dan aktivis mendesak orang ramai melepaskan saham syarikat itu.

Dakwaan Trump mengenai kempen boikot itu sebagai ‘haram’, bertentangan dengan keputusan Mahkamah Agung pada 1972 bahawa Pindaan Pertama Perlembagaan AS melindungi hak rakyat untuk membantah perniagaan swasta.

Kumpulan Tesla Takedown yang mengatur protes anti-Tesla di seluruh negara, menegaskan orang ramai berhak untuk melakukan demonstrasi aman di hadapan bilik pameran syarikat itu.

Kekayaan bersih Musk menyusut sebanyak AS$29 bilion (RM128 bilion) dalam sehari sahaja dan merosot sebanyak AS$132 bilion (RM584 bilion) bagi tempoh 12 bulan terakhir, berikutan kejatuhan saham Tesla.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×