Pengarah Hollywood seleweng dana terbit fiksyen Netflix beli kereta mewah

Pengarah Hollywood seleweng dana terbit siri fiksyen Netflix beli kereta mewah

CARL ERIC RINSCH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Seorang pengarah Hollywood ditangkap dan dituduh menyalahgunakan dana studio yang diperuntukkan untuk menyiapkan siri fiksyen sains bagi membeli kereta mewah, mata wang kripto dan peralatan tempat tidur untuk dirinya sendiri.

Carl Erik Rinshc, 47, didakwa atas penipuan persekutuan dan pengubahan wang haram bernilai AS$11 juta (RM48.6 juta) yang diberikan oleh Netflix untuk menghasilkan siri bertajuk White Horse.

Rinsch, yang terkenal dengan filem 47 Ronin (2013), enggan mengemukakan pengakuan ketika hadir di mahkamah Los Angeles pada Selasa.

Dokumen pertuduhan tidak menamakan Netflix, sebaliknya merujuk kepada ‘perkhidmatan penstriman atas permintaan video langganan’, namun pertikaian panjang Rinsch dengan Netflix mengenai siri gagal itu didedahkan dalam laporan media Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.

Netflix enggan mengulas mengenai penahanannya.

Antara 2018 hingga 2019, gergasi penstriman itu memberikan AS$44 juta (RM194.7 juta) kepada Rinsch untuk menghasilkan siri yang mengisahkan klon manusia tiruan, namun beliau didakwa gagal menyiapkan walaupun satu episod.

Pada Mac 2020, Netflix memberikan kos tambahan AS$11 juta selepas Rinsch mendakwa bajet asal tidak mencukupi, menurut pendakwa raya.

Jabatan Kehakiman AS berkata, dana itu didakwa tidak digunakan untuk pembikinan siri tersebut, sebaliknya dipindahkan ke akaun bank peribadi dan dilabur dalam beberapa projek kewangan berisiko tinggi.

Hanya dua bulan selepas menerima dana tersebut, kira-kira separuh daripada jumlah itu sudah dibelanjakan, menurut dokumen pertuduhan.

Dokumen mahkamah menyatakan, baki dana itu didakwa digunakan untuk spekulasi mata wang kripto, perbelanjaan peribadi serta barangan mewah, termasuk beberapa Rolls-Royce dan sebuah Ferrari.

Pembelian boros itu juga melibatkan AS$1.8 juta (RM7.9 juta) untuk kad kredit, AS$3.7 juta (RM16.3 juta) bagi perabot dan barangan antik, serta AS$933,000 (RM4.1 juta) untuk tilam dan kelengkapan tempat tidur mewah, kata Jabatan Kehakiman AS.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×