BANGKOK: Serangan bom ambulans yang meletup di hadapan sebuah pub bersebelahan Hotel Southern View di daerah Muang, Pattani, hampir sedekad lalu masih kekal dalam ingatan Saibua Kaewmanee.
Serangan pada malam 23 Ogos 2016 itu meragut satu nyawa dan mencederakan 33 yang lain, termasuk Saibua, yang kini berusia 41 tahun.
Insiden itu adalah satu daripada tiga serangan bom yang berlaku di Pattani pada malam tersebut.
Dua lagi letupan berlaku di dalam tandas pub bersebelahan hotel yang sama dan dalam tong sampah di sebuah pasar di Tambon Bo Thong, daerah Nong Chik.
Serangan itu menyusuli satu gelombang pengeboman dan kebakaran di enam wilayah selatan serta satu wilayah tengah pada awal bulan sama, mengorbankan empat nyawa dan mencederakan 35 yang lain.
TRAUMA PANJANG
Mengimbau kembali kejadian, Saibua ketika itu menikmati makan malam di sebuah kedai di hadapan hotel selepas pulang dari Malaysia sebelum bom meletup.
Katanya, letupan itu menghantar gelombang kejutan ke seluruh badannya, menyebabkan kecederaan parah pada organ dalaman.
Saibua mengalami luka di leher, terkena serpihan bom di seluruh badan dan mengalami kesan melecur yang teruk.
Satu serpihan bom turut menembusi perutnya, menyebabkan pendarahan dalaman dan kebocoran organ.
Katanya, kejadian itu membuatkan dirinya terbaring dengan darah mengalir dari leher dan perut sebelum dikejarkan ke Hospital Pattani.
“Saya pasti sudah mati jika lambat tiba di hospital,” katanya di luar forum baru-baru ini yang menghimpunkan mangsa, aktivis keamanan, pejuang hak asasi manusia dan wartawan untuk berkongsi pandangan mengenai usaha membina keamanan di wilayah selatan.
Saibua dimasukkan ke hospital dan menjalani rawatan intensif namun, sehingga kini dia masih belum pulih sepenuhnya.
Sebagai mangsa keganasan di tiga wilayah sempadan selatan – Yala, Pattani dan Narathiwat – Saibua menerima pampasan sebanyak 700,000 baht (RM91,628) daripada Pusat Pentadbiran Wilayah
Sempadan Selatan serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia.
Namun katanya, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung kos perubatan yang tidak termasuk dalam skim kesihatan sejagat 30 baht.
Dia turut merayu supaya kerajaan tidak menghentikan bantuan kepada mangsa keganasan di selatan, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dengan menyediakan program pekerjaan.
“Saya sudah lama menganggur kerana masalah kesihatan, selain mengalami trauma akibat kejadian tersebut.
“Saya masih bimbang akan mengalami serangan panik di tempat awam. Sebab itu saya masih mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri,” katanya.
MAHU THAKSIN, ANWAR SELESAIKAN KONFLIK
Ketika ditanya tentang peranan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dalam menyelesaikan masalah di selatan sebagai penasihat tidak rasmi ASEAN kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saibua berkata, dia dan penduduk lain di selatan sangat gembira jika misinya berjaya.
Antara Januari 2004 hingga Januari 2025, sebanyak 22,962 insiden keselamatan direkodkan oleh Deep South Watch, mengakibatkan 7,683 kematian dan 14,415 kecederaan.
PERKETAT KAWALAN KESELAMATAN
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berikrar untuk memperketat kawalan keselamatan di selatan Thailand selepas serangan maut pemberontak di Narathiwat, Sabtu lalu.
Beliau merancang untuk menambah bilangan pasukan keselamatan pada waktu malam dan memastikan pampasan penuh diberikan kepada keluarga mangsa.
Paetongtarn berkata, serangan yang berlaku pada malam Sabtu itu memberi kesan negatif kepada semangat awam, menjadikannya pengukuhan kawalan keselamatan sebagai satu keperluan.
“Bilangan pasukan keselamatan sememangnya perlu ditambah,” katanya kepada wartawan sejurus pulang dari lawatan ke Jerman, kelmarin.
Dalam kejadian itu, tiga serangan pemberontak berlaku di Narathiwat, mengakibatkan tiga orang terkorban.
Laporan awal menunjukkan dua sukarelawan pertahanan terbunuh, namun Paetongtarn menerima maklumat terkini daripada agensi keselamatan mengesahkan jumlah kematian meningkat kepada tiga orang.
Kemudian, satu lagi serangan berlaku di Pattani, menyaksikan dua terbunuh dan sejumlah yang lain cedera.
Susulan itu, beliau memberi jaminan keluarga mangsa yang terkorban atau cedera dalam kejadian akan menerima pampasan penuh daripada kerajaan.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.










