Korea Selatan perketat peraturan bawa 'powerbank' dalam pesawat

Korea Selatan perketat peraturan bawa ‘powerbank’ dalam pesawat

GAMBAR HIASA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Bermula 1 Mac, penumpang penerbangan di Korea Selatan diwajibkan memegang sendiri ‘powerbank’, pengecas mudah alih dan rokok elektronik di dalam pesawat.

Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, penumpang kini tidak lagi dibenarkan menyimpan barangan tersebut di ruang penyimpanan atas tempat duduk.

Peraturan keselamatan penerbangan baharu itu dibuat sebagai tindak balas kepada insiden kebakaran pesawat Air Busan di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, pada 28 Januari lalu.

Insiden yang didakwa berpunca daripada ‘powerbank’ itu berlaku sebelum berlepas ke Hong Kong, dengan membawa 169 penumpang dan tujuh anak kapal.

Di bawah peraturan baharu itu, ‘powerbank’ dan rokok elektronik masih dibenarkan di dalam bagasi kabin, tetapi dilarang sama sekali untuk bagasi berdaftar.

Selain itu, had kapasiti yang ketat untuk barangan seperti ‘powerbank’ akan dikuatkuasakan.

Seorang penumpang boleh membawa maksimum lima ‘powerbank’ dengan kapasiti sehingga 100 watt-jam (Wh) setiap satu.

Bateri yang mempunyai kapasiti antara 100Wh hingga 160Wh hanya dibenarkan dua unit setiap penumpang dan perlu mendapat kelulusan daripada syarikat penerbangan.

Bateri dengan kapasiti melebihi 160Wh adalah dilarang sama sekali untuk dibawa masuk ke pesawat.

Bagi ‘powerbank’ yang melebihi had kapasiti standard, penumpang perlu melalui proses kelulusan di kaunter daftar masuk syarikat penerbangan.

Penumpang yang menggunakan kiosk daftar masuk sendiri akan diberi maklumat mengenai peraturan tersebut pada lima peringkat berbeza, termasuk semasa tempahan tiket, 24 jam sebelum berlepas, daftar masuk, di pintu masuk dan selepas masuk ke dalam pesawat.

Syarikat penerbangan juga akan melekatkan pelekat khas pada ‘powerbank’ yang diluluskan untuk memudahkan pemeriksaan keselamatan yang pantas.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN