KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi membincangkan peluang untuk mencapai keamanan serta penyediaan dokumen mengenai kerjasama keselamatan dan ekonomi antara kedua-dua negara.
Perbualan itu berlangsung tidak lama selepas Trump mengumumkan beliau telah berbincang dengan Presiden Russia, Vladimir Putin mengenai rundingan segera bagi menamatkan perang di Ukraine.
“Saya telah mengadakan perbualan bermakna dengan @POTUS.
“Kami berbincang mengenai peluang untuk mencapai keamanan, kesediaan untuk bekerjasama, serta keupayaan teknologi Ukraine termasuk dalam bidang dron dan industri maju lain,” kata Zelenskyy dalam satu hantaran di platform X.
Menurut pejabat Presiden Ukraine, perbualan itu berlangsung selama kira-kira satu jam.
Dalam kenyataan lanjut, Zelenskyy turut menyatakan beliau dan Trump membincangkan lawatan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, ke Kyiv.
Lawatan itu akan menumpukan kepada perjanjian berkaitan mineral kritikal Ukraine.
“Kami juga berbincang mengenai pertemuan saya dengan Scott Bessent serta penyediaan dokumen baharu berkaitan keselamatan, kerjasama ekonomi, dan perkongsian sumber,” katanya.
Tambah Zelenskyy, Trump turut berkongsi butiran perbualannya dengan Putin.
Kedua-dua pihak dilapor bersetuju untuk terus berhubung serta merancang pertemuan akan datang. – AGENSI










