WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memulakan kembali kempen tekanan maksimumnya terhadap Iran.
Kempen berkenaan termasuk usaha untuk menghentikan sepenuhnya eksport minyak Iran bagi menghalang Teheran daripada memperoleh senjata nuklear.
Menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Trump menandatangani memorandum bagi mengenakan semula dasar tegas Washington terhadap Iran yang pernah dilaksanakan sepanjang penggal pertamanya.
Ketika menandatangani memorandum itu, Trump menyifatkannya sebagai keputusan yang sangat tegas dan mengakui bahawa beliau berbelah bahagi untuk melaksanakannya.
Bagaimanapun, beliau terbuka kepada perjanjian dengan Iran dan bersedia untuk berbincang dengan pemimpin negara itu.
“Dengan saya, ia sangat mudah. Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear,” kata Trump.
Memorandum yang ditandatangani Trump itu mengarahkan Setiausaha Perbendaharaan AS untuk mengenakan tekanan ekonomi maksimum terhadap Iran, termasuk sekatan dan mekanisme penguatkuasaan ke atas mana-mana pihak yang melanggar sekatan sedia ada.
Ia juga mengarahkan Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Negara AS untuk melaksanakan kempen bagi menghentikan sepenuhnya eksport minyak Iran.
Harga minyak AS mengalami penurunan sebelum meningkat semula selepas berita mengenai langkah Trump itu, sekali gus mengimbangi kelemahan akibat ketegangan tarif antara Washington dan Beijing.
Sementara tu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, langkah Trump melaksanakan semula dasar tekanan maksimum terhadap Iran hanya akan berakhir dengan kegagalan seperti yang berlaku semasa penggal pertamanya.
“Saya percaya bahawa tekanan maksimum adalah percubaan yang gagal dan mencubanya sekali lagi akan bertukar menjadi kegagalan lain,” kata Araghchi kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet, sambil menambah bahawa Teheran tidak mempunyai senjata nuklear.-AFP











