TOKYO: Syarikat automotif terkemuka Jepun, Toyota dan Mitsubishi mengharamkan penggunaan chatbot kecerdasan buatan (AI) dari China, DeepSeek dalam kalangan pekerja mereka atas faktor keselamatan maklumat, lapor agensi berita Kyodo.
Toyota, pengeluar kenderaan terbesar dunia dari segi jumlah jualan, mengambil langkah tegas dengan melarang penggunaan DeepSeek atas kebimbangan keselamatan maklumat.
“Kami bimbang dari sudut keselamatan data,” kata seorang pegawai syarikat itu.
Sementara itu, Mitsubishi Heavy Industries yang terlibat dalam industri ketenteraan Jepun, juga tidak membenarkan pekerjanya menggunakan chatbot tersebut untuk tujuan kerja.
Syarikat telekomunikasi gergasi Jepun, SoftBank, turut mengesahkan larangan ke atas pekerja daripada memuat turun dan menggunakan DeepSeek dalam telefon pintar keluaran syarikat serta mengehadkan akses kepada chatbot tersebut dalam sistem dalaman organisasi.
Menurut wakil sebuah syarikat pengeluar bahan utama yang turut mengharamkan penggunaan DeepSeek, risiko keselamatan model AI itu jauh lebih tinggi berbanding teknologi AI generatif lain yang digunakan oleh firma mereka.
DeepSeek dilihat sebagai reaksi China terhadap sekatan perdagangan baharu Amerika Syarikat (AS) yang melibatkan cip semikonduktor dan pelaburan dalam infrastruktur AI.
Kerajaan China bagaimanapun menolak dakwaan DeepSeek menimbulkan ancaman terhadap keselamatan data, malah mengecam tindakan sesetengah negara yang menyekat penggunaannya.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun menegaskan, Beijing amat menitikberatkan privasi serta keselamatan data dan melindunginya mengikut undang-undang.
“Kami tidak pernah dan tidak akan meminta mana-mana syarikat atau individu untuk mengumpul atau menyimpan data secara bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam satu sidang media minggu lalu.
Kebimbangan mengenai kebocoran data berkaitan DeepSeek semakin meningkat susulan pelaksanaan Undang-Undang Perisikan Nasional China pada 2017, yang mewajibkan syarikat-syarikat di negara itu untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam pengumpulan maklumat.










