BEIJING: Sebuah syarikat China di hab perindustrian timur Shandong menarik balik perintah pada Februari, yang mewajibkan pekerja bujang berkahwin pada akhir September ini.
Pembatalan arahan itu dibuat selepas pihak berkuasa tempatan menegaskan peraturan tersebut melanggar undang-undang buruh negara.
Langkah, yang menarik perhatian netizen dan pihak berkuasa tempatan, berlaku ketika China bergelut mencari inisiatif untuk menggalakkan pasangan muda berkahwin dan mempunyai anak, bagi meningkatkan populasi negara yang semakin merosot.
Notis daripada Shandong Shuntian Chemical Group kepada 1,200 pekerja menyatakan, semua kakitangan bujang berusia 25 hingga 58 tahun, termasuk mereka yang bercerai, diwajibkan berkahwin dan memulakan keluarga sebelum 30 September 2025.
Jika syarat itu tidak dipenuhi menjelang suku ketiga, syarikat akan menamatkan kontrak kerja, menurut notis yang tersebar di media sosial dan dilaporkan oleh beberapa akhbar termasuk Global Times serta Beijing News.
Notis itu turut menyatakan bahawa syarikat berkenaan mempromosi semangat dan nilai budaya, seperti ketekunan, kebaikan, kesetiaan dan keadilan, lapor Global Times.
Bagaimanapun, media kerajaan melaporkan, notis itu sudah ditarik balik.
Syarikat itu mendakwa, ia hanya berniat untuk menggalakkan pekerja yang belum berkahwin untuk memberi tumpuan kepada kehidupan dan membina keluarga.
Perkahwinan di China menjunam sebanyak satu perlima pada tahun lalu, penurunan terbesar dalam rekod.- AGENSI










