Santorini dilanda 1,440 gempa bumi sejak awal Februari

Santorini dilanda 1,440 gempa bumi sejak awal Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Pulau Santorini di Laut Aegea Selatan merekodkan sebanyak 1,440 gegaran gempa bumi sejak 1 Februari lalu, menurut Institut Geodinamik Greece.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 440 gegaran mencatatkan bacaan melebihi 3 skala Richter, manakala 73 lagi melebihi 4 skala Richter.

Pada Rabu sahaja, sebanyak 45 gegaran direkodkan di pulau pelancongan terkenal itu, termasuk dua daripadanya melebihi 4 magnitud dan 10 lagi melebihi 3 magnitud.

Berikutan peningkatan aktiviti seismik itu, satu mesyuarat kecemasan telah diadakan di Athens yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Perlindungan Awam, Vassilis Kikilias serta pakar-pakar dalam bidang geologi dan seismologi.

Dalam sesi taklimat tersebut, Ketua Agensi Perancangan dan Perlindungan Gempa Bumi (OSAP), Efthymios Lekkas memberi amaran gegaran yang berlaku meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh di Santorini.

Sementara itu, pakar geofizik dan seismologi terkemuka, Kostas Papazachos, menjelaskan situasi semasa menunjukkan perkembangan yang lebih positif dan meminta penduduk supaya kekal tenang.

Selepas mendengar pembentangan daripada pakar-pakar, Mitsotakis menyatakan mereka kini lebih optimis berbanding hari sebelumnya dalam menangani keadaan tersebut.

Kira-kira 9,000 orang telah meninggalkan pulau tersebut sejak Ahad lalu dengan penerbangan kecemasan tambahan dijadualkan berlepas semalam.

“Semuanya ditutup. Tiada siapa yang bekerja sekarang. Seluruh pulau telah kosong,” kata seorang penduduk tempatan berusia 18 tahun sebelum menaiki sebuah kapal meninggalkan pulau itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN