Rumah Putih ambil alih kuasa pilih media buat liputan Trump

Rumah Putih ambil alih kuasa pilih media buat liputan Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Rumah Putih mengambil langkah mengejut apabila menarik balik kuasa hampir satu abad, yang membolehkan wartawan menentukan siapa dalam kalangan mereka boleh membuat liputan acara Presiden Amerika Syarikat (AS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, yang menyatakan Persatuan Wartawan White House (WHCA) tidak lagi mempunyai monopoli dalam memilih anggota kumpulan media yang mengikuti presiden.

Kumpulan media itu terdiri daripada sebilangan kecil wartawan yang membuat liputan di ruang sempit seperti Pejabat Oval dan pesawat rasmi Air Force One, sebelum berkongsi laporan mereka dengan organisasi berita lain.

Langkah itu diambil ketika Rumah Putih berdepan ketegangan dengan agensi berita Associated Press (AP) selepas Trump melarang wartawannya daripada menghadiri acara presiden ekoran pertikaian mengenai penamaan semula Teluk Mexico kepada Teluk Amerika.

Sejak hampir satu abad lalu, WHCA memainkan peranan penting dalam menentukan wartawan yang menyertai kumpulan media presiden, khususnya di ruang sempit dalam Sayap Barat Rumah Putih.

Namun, Leavitt yang menjadi Setiausaha Akhbar White House termuda pada usia 27 tahun berkata, keadaan itu bakal berubah.

Menurut beliau, media arus perdana masih dibenarkan menyertai kumpulan tersebut, namun akses turut dibuka kepada organisasi yang sebelum ini tidak diberi peluang.

Sementara itu, Presiden WHCA, Eugene Daniels mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai ancaman terhadap kebebasan media di AS.

“Tindakan ini menjejaskan kebebasan akhbar di negara ini. Ia memberi gambaran bahawa kerajaan kini boleh memilih wartawan yang meliputi Presiden,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga WHCA yang juga wartawan kanan Fox News, Jacqui Heinrich berkata, langkah itu bukan mengembalikan kuasa kepada rakyat, sebaliknya memberi kuasa mutlak kepada White House.

Perubahan drastik ini merupakan sebahagian daripada usaha Trump sejak memulakan penggal kedua pada 20 Januari lalu untuk memperkukuh kawalan ke atas birokrasi AS dan media.

Mahkamah AS pada Isnin enggan mengarahkan White House memulihkan akses penuh kepada wartawan AP, namun menetapkan perbicaraan lanjut bulan depan.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN