MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin dalam perbualan telefon panjang dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini menegaskan, rundingan damai bagi menamatkan konflik di Ukraine mampu direalisasikan.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, perbualan itu menandakan pengesahan pertama daripada Moscow mengenai hubungan rasmi antara kedua-dua pemimpin sejak Trump memegang jawatan bulan lalu.
Ia juga selari dengan usaha pemimpin dari parti Republikan itu untuk menamatkan pertempuran hampir tiga tahun di Ukraine.
“Putin bersetuju dengan Trump bahawa penyelesaian jangka panjang boleh dicapai melalui rundingan damai,” kata Peskov dalam kenyataan.
Peskov memaklumkan perbualan itu berlangsung hampir satu jam setengah.
Menurutnya, Trump menyuarakan sokongan supaya permusuhan dihentikan secepat mungkin dan konflik diselesaikan secara aman.
Namun, Putin menegaskan sebarang penyelesaian perlu mengambil kira punca sebenar konflik tersebut.
Selain isu Ukraine, kedua-dua pemimpin turut membincangkan pertukaran tahanan, program nuklear Iran serta situasi di Asia Barat.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan perbualannya dengan pemimpin Russia itu sebagai panjang dan sangat produktif.
Trump memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan rundingan dengan segera yang mungkin berlangsung di Arab Saudi dan Putin turut menjemput beliau bagi mengadakan lawatan ke Moscow. – AGENSI










