INDONESIA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memaklumkan dirinya tidak akan bertanding untuk penggal kedua jika pentadbiran beliau gagal memenuhi jangkaan rakyat.
Beliau yang memegang jawatan pada 20 Oktober lalu, turut menetapkan tahun 2028 sebagai ujian untuk kepemimpinannya.
“Jika pada tahun keempat berkhidmat, saya kecewa dengan prestasi, maka saya tidak akan bertanding semula. Saya akan berasa malu,” katanya pada kongres Parti Demokrat, semalam.
Parti itu merupakan anggota berpengaruh dalam gabungan pemerintahannya.
Prabowo menetapkan matlamat agresif untuk meningkatkan pertumbuhan tahunan kepada kira-kira lapan peratus dalam penggal pertamanya, berbanding lima peratus ketika ini.
Jika berjaya, ia akan menjadi pencapaian ekonomi yang belum pernah diraih Indonesia sejak sebelum krisis kewangan Asia 1997-1998.
Beliau mendapat sokongan tinggi dalam beberapa bulan awal pemerintahannya, didorong oleh agenda populis seperti program makan tengah hari percuma bernilai AS$30 bilion (RM133 bilion).
Namun, cadangannya minggu lalu untuk memotong perbelanjaan sebanyak AS$19 bilion (RM84 bilion) mencetuskan protes selama beberapa hari, memberi petunjuk mengenai cabaran yang bakal dihadapi pemerintahannya dalam mengekalkan sokongan, selain memastikan kestabilan ekonomi.
Bagi menutup jurang pembiayaan, Probowo baru-baru ini melancarkan dana pelaburan bernilai berbilion dolar yang bertujuan membiayai 20 projek berimpak tinggi merentasi pelbagai industri.
Walaupun dengan kenyataannya itu, Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) sebulat suara menyokong beliau untuk penggal kedua.
Perlembagaan Indonesia menetapkan had umur minimum bagi calon presiden, tetapi tiada had maksimum yang menhalangnya bertanding dalam pilihan raya 2029.
Dua pendahulunya juga masing-masing berkhidmat selama dua penggal.– BLOOMBERG










