Perkampungan Chengdu dikecam guna salji palsu tarik pengunjung

Perkampungan Chengdu dikecam guna salji palsu tarik pengunjung

GAMBAR pemandangan cuaca sejuk perkampungan Chengdu menggunakan salji palsu yang tular di media sosial.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SICHUAN: Sebuah perkampungan bersalji terkenal di wilayah Sichuan, China membuat permohonan maaf selepas dikecam warga net kerana mencipta ‘salji palsu’ menggunakan kapas dan air sabun demi menarik pelancong ke kawasan itu.  

Dalam satu kenyataan di akaun rasmi WeChat pada 8 Februari lalu, pihak pengurusan Projek Kampung Salji Chengdu mengakui ketika perayaan Tahun Baharu Cina hujung Januari lalu, cuaca yang lebih panas daripada jangkaan menyebabkan kampung itu gagal membentuk pemandangan bersalji seperti yang dirancang.  

Biro Cuaca China sebelum ini memberi amaran negara itu kini berdepan gelombang haba yang lebih panas dan panjang serta hujan lebat yang tidak menentu akibat perubahan iklim.  

“Bagi mewujudkan suasana bersalji, pihak kami telah membeli kapas untuk dijadikan salji namun kesannya tidak seperti yang diharapkan, sehingga menyebabkan ramai pelancong kecewa,” kata kenyataan projek tersebut.  

Selepas menerima maklum balas negatif daripada pelancong dan warga net, pihak pengurusan segera membersihkan semua kapas yang digunakan.  

Pihak pengurusan turut membuat permohonan maaf secara terbuka dan menawarkan bayaran balik kepada pelancong yang terkesan dan kini kawasan pelancongan tersebut telah ditutup.  

Foto tular yang dimuat naik di WeChat menunjukkan kepingan kapas besar bertaburan di tanah dengan rumah-rumah di kampung itu kelihatan seolah-olah diliputi salji tebal, tetapi apabila dihampiri, ia hanyalah kapas, kata seorang netizen.   

“Di zaman Internet yang serba maju ini, lokasi pelancongan perlu membuat promosi yang jujur dan mengelak daripada melakukan penipuan atau iklan palsu, jika tidak, mereka hanya akan merugikan diri sendiri,”sindir seorang pengguna media sosial. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×