PARIS: Kerajaan Perancis secara rasmi mengiktiraf tugas imam masjid sebagai profesion, dengan memasukkannya dalam senarai pekerjaan rasmi oleh Agensi Pekerjaan Perancis, lapor Anadolu.
Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau, mengumumkan perkara tersebut ketika sesi penutupan Forum Islam Perancis (FORIF), dengan menegaskan kepentingan pengiktirafan tersebut terhadap kedudukan imam dalam masyarakat.
Menurutnya, dialog antara kerajaan dan wakil agama Islam perlu berlandaskan kepercayaan serta tanggungjawab, selain menegaskan umat Islam menolak sebarang penyimpangan ajaran oleh ideologi ekstremis.
Tambah Retailleau, meskipun kerajaan tidak akan campur tangan dalam institusi keagamaan, ia boleh memberikan sokongan sewajarnya.
Sehubungan itu, jawatan imam kini dimasukkan dalam senarai rasmi profesion di Perancis, satu langkah yang disifatkan sebagai bersejarah kerana pertama kali diiktiraf dalam negara tersebut.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, kerajaan turut memperkenalkan penerangan tugas rasmi serta kontrak pekerjaan untuk imam, bagi menyediakan kerangka kerja yang lebih tersusun bagi peranan mereka.
Dalam ucapannya, Retailleau turut mengulas mengenai isu Islamofobia yang semakin membimbangkan di Perancis, dengan mendedahkan sebanyak 173 serangan anti-Islam direkodkan tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau mengaku angka sebenar mungkin lebih tinggi disebabkan ramai mangsa tidak melaporkan kejadian tersebut.
Bagi menangani masalah itu, kerajaan akan memperkenalkan platform aduan baharu khusus untuk melaporkan insiden berkaitan Islamofobia.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan pendakwah Islam yang bertugas sebagai imam di hospital dan dalam pasukan tentera kini akan diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada perkhidmatan awam negara.
Pengiktirafan ini dijangka dapat memperkukuh kedudukan umat Islam di Perancis serta memastikan peranan imam dan pemimpin agama Islam mendapat pengiktirafan yang sewajarnya dalam sistem negara.










