Pagoda usia 300 tahun musnah dalam kebakaran di Vietnam

Pagoda usia 300 tahun musnah dalam kebakaran di Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAC GIANG: Sebuah kebakaran dahsyat awal pagi semalam memusnahkan Pagoda Ve, sebuah pagoda berusia 300 tahun yang terletak di bandar Bac Giang, utara Vietnam sehingga mengakibatkan dewan hadapan dan ruang suci belakangnya hangus dijilat api.

Pasukan bomba bersama polis tempatan mengerahkan enam jentera bomba dan 40 anggota bagi memadam kebakaran tersebut, dibantu oleh pasukan keselamatan tempatan serta penduduk setempat dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2 pagi waktu tempatan.

Laporan awal menunjukkan kebakaran bermula lewat malam dan hanya disedari selepas api merebak dengan pantas, menyebabkan struktur utama tidak dapat diselamatkan bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta menilai jumlah kerugian.

Pagoda Ve terkenal dengan warisan budaya dan seni, menempatkan patung-patung Buddha yang diukir halus dari abad ke-17 yang masih mengekalkan keindahan bersalut emas selama hampir tiga abad sehingga diiktiraf sebagai tapak warisan seni kebangsaan pada tahun 1994.

Kejadian itu berlaku selepas kebakaran besar pada 23 Oktober tahun lalu di Pagoda Pho Quang di Daerah Lam Thao, Wilayah Phu Tho, di mana ianya dibina lebih 800 tahun lalu dan turut diiktiraf sebagai tapak bersejarah kebangsaan yang menyimpan artifak berharga termasuk tapak teratai batu dari abad ke-14.

Kebakaran tersebut menyebabkan kerosakan besar, memusnahkan semua struktur kayu, bumbung jubin tanah liat tradisional, sistem elektrik serta banyak patung kayu dan tanah liat.

Kerugian dianggarkan melebihi AS$986,000 (RM4.7 juta).

Sebagai langkah pencegahan, pihak berkuasa kini mempergiatkan kempen kesedaran keselamatan kebakaran di tapak-tapak keagamaan, terutamanya di kuil, tempat pemujaan dan premis yang menjual barangan sembahyang.

Pihak berkuasa juga mencadangkan agar kawasan khas yang selamat dari kebakaran disediakan untuk pembakaran colok dan barangan sembahyang, memastikan peralatan pemadam api diselenggara dengan baik serta mengehadkan penggunaan bahan mudah terbakar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN