Menteri era pemerintahan Bashar serah diri selepas diburu

Menteri era pemerintahan Bashar serah diri selepas diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Seorang bekas menteri di bawah pemerintahan rejim Bashar al-Assad tampil menyerah diri, menjadikannya antara tokoh berprofil tinggi yang ditangkap oleh pihak berkuasa baharu.

Kementerian Dalam Negeri Syria dalam kenyataan memaklumkan, bekas Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Bashar, Mohammed Al-Shaar menyerah diri kepada Jabatan Keselamatan Am.

Mohammed, yang menjadi sasaran sekatan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), merupakan Menteri Dalam Negeri dari 2011 hingga 2018, ketika perang saudara selama 13 tahun berada di kemuncak.

Menurut kementerian, pasukan keselamatan daripada pihak berkuasa baharu mencari Mohammed dan menyerbu beberapa tempat yang dipercayai menjadi tempat persembunyiannya sejak beberapa hari lalu.

Sejak 2011, Mohammed dikenakan sekatan oleh EU kerana terlibat dalam keganasan terhadap penunjuk perasaan yang turun ke jalan raya untuk menuntut demokrasi.

Tindakan keras kerajaan terhadap tunjuk perasaan aman mencetuskan perang saudara yang membunuh lebih 500,000 orang dan menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal.

Beliau juga merupakan antara pegawai atasan, termasuk Bashar, yang dikenakan sekatan oleh AS pada 2011.

Pada 2012, seorang peguam Lubnan mengemukakan saman terhadap Mohammed, menuduhnya mengarahkan pembunuhan ratusan orang di Tripoli pada 1986, ketika beliau bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan di bandar pelabuhan utara negara itu.

Pada tahun yang sama, Mohammed turut terselamat daripada dua serangan bom.

Bashar kini melarikan diri ke Russia, sekutu kerajaan lamanya, dan beberapa bekas pegawai dalam pentadbirannya juga dipercayai sudah meninggalkan Syria.AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN