TOKYO: Kabin lori yang ditelan lubang benam di Jepun dua minggu lalu, ditemukan dalam paip pembetung dan dipercayai mengandungi mayat pemandunya yang masih hilang, kata seorang pegawai jabatan bomba semalam.
Usaha mencari pemandu lori berusia 74 tahun itu berdepan kesukaran sejak kenderaan berkenaan terjatuh ke dalam rekahan besar yang tiba-tiba muncul di sebuah persimpangan di bandar Yashio, berhampiran Tokyo, pada waktu puncak pagi 28 Januari lalu.
“Selepas pakar menganalisis gambar yang diambil menggunakan dron, mereka mengesahkan terdapat kabin lori dalam gambar tersebut dan tidak menolak kemungkinan terdapat individu di dalamnya,” kata pegawai bomba tempatan, Tomonori Nakazawa.
Bagaimanapun, pasukan penyelamat tidak dapat memasuki paip pembetung disebabkan aliran air yang deras serta tahap gas hidrogen sulfida yang tinggi, katanya.
Gabenor Wilayah Saitama, Motohiro Ono, berkata, kerja membina paip lencongan sementara untuk menghentikan aliran air akan mengambil masa kira-kira tiga bulan.
“Pasukan penyelamat perlu menunggu sehingga paip lencongan siap sebelum dapat mengakses kabin lori tersebut,” katanya kepada pemberita lewat kelmarin.
Sebelum ini, cerun sepanjang 30 meter dibina bagi membolehkan jentera berat dihantar ke dalam lubang tersebut, dengan kira-kira 1.2 juta penduduk tempatan diminta mengurangkan penggunaan air seperti mandi dan membasuh pakaian bagi mengelakkan kebocoran air kumbahan yang boleh mengganggu operasi menyelamat.
Namun, sejumlah besar air kumbahan ditemukan di bawah cerun tersebut, dan apabila digabungkan dengan hujan, ia menyebabkan operasi menyelamat terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Ahad lalu, pencarian di dalam lubang benam itu dihentikan untuk memberi tumpuan kepada paip pembetung berhampiran di mana kabin lori tersebut dikesan, lapor Kyodo News dan beberapa media tempatan lain.
Menurut laporan media, sekitar 2,600 kejadian lubang benam jalan raya pada tahun 2022 berpunca daripada paip pembetung, namun kebanyakannya kecil dengan kedalaman hanya 50 sentimeter atau kurang.
Pada 2016, kejadian lubang benam gergasi selebar 30 meter dan sedalam 15 meter pernah berlaku di jalan sibuk di bandar Fukuoka akibat kerja-kerja pembinaan kereta api bawah tanah.
Tiada kecederaan dilaporkan dan jalan tersebut berjaya dibuka semula seminggu kemudian selepas kerja-kerja pembaikan dilakukan tanpa henti. – AGENSI










