PYONGYANG: Korea Utara telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu jelajah strategik untuk menghantar mesej kepada musuh mengenai keupayaan serangan balasnya.
Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), latihan peluru berpandu yang dilaksanakan di Laut Kuning itu diketuai pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada Rabu.
Ketua Staf Gabungan Korea Selatan dalam kenyataan pada hari sama, mengesahkan pihaknya mengesan dan menjejak pelancaran tersebut.
Pyongyang melaksanakan latihan untuk memberi amaran kepada ‘musuh’ yang melanggar persekitaran keselamatan republik itu, selain meluas dan meningkatkan persekitaran konfrontasi.
Ia juga bagi menunjukkan kesediaan negara tersebut dalam pelbagai cara operasi nuklear, kata KCNA.
Peluru berpandu itu didakwa mengenai sasaran dengan tepat selepas terbang selama 130 minit sepanjang 1,587 kilometer (km) trajektori.
“Menunjukkan kepuasan terhadap hasil latihan pelancaran tersebut, Jong Un berkata ia merupakan latihan pencegahan peperangan Korea Utara dengan menguji secara berterusan kemampuan dan operasi komponen pencegahan nuklearnya,” kata sumber dalaman.
Latihan itu merupakan pelancaran peluru berpandu keempat tahun ini dan yang kedua sejak pelantikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Januari.
Trump, yang mengadakan tiga pertemuan dengan Jong Un semasa pentadbiran pertamanya dalam usaha menamatkan senjata nuklear Pyongyang, menyatakan niat untuk berhubung dengan pemimpin Korea Utara itu semasa penggal kedua pemerintahannya.
“Saya berhubungan baik dengan Jong Un. Dia bukan seorang fanatik agama dan seorang lelaki bijak,” kata Trump kepada pengacara Fox News, Sean Hannity, dalam satu temu bual pada Januari. – AL-JAZEERA










