BAITULMUQADDIS: Israel akan menubuhkan sebuah agensi khas bagi menguruskan ‘pemindahan sukarela’ penduduk Gaza, selepas Tel Aviv menyatakan komitmen terhadap cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil alih wilayah Palestin itu.
Perkara itu diumumkan Menteri Pertahanan, Israel Katz dalam satu kenyataan melalui kementeriannya, kelmarin.
“Menteri Pertahanan Israel Katz mengadakan mesyuarat mengenai pemindahan sukarela penduduk Gaza dan memutuskan untuk menubuhkan sebuah direktorat bagi pemindahan itu di bawah Kementerian Pertahanan,” kata kenyataan tersebut.
Awal bulan ini, Katz mengarahkan tentera untuk merangka rancangan bagi membolehkan rakyat Palestin meninggalkan Gaza, termasuk menyatakan sokongan terhadap rancangan berani Trump yang mahukan sebahagian besar penduduk berpindah ke pelbagai tempat di seluruh dunia.
Pelan awal yang dibentangkan dalam mesyuarat pada Isnin, merangkumi bantuan meluas membolehkan penduduk Gaza berhijrah secara sukarela ke negara ketiga untuk menerima pakej komprehensif, termasuk pengaturan khas pemindahan melalui laut, udara dan darat.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa komited terhadap rancangan Presiden AS, Donald Trump untuk mewujudkan Gaza yang berbeza.
Beliau turut berjanji, Hamas atau Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak akan memerintah wilayah tersebut selepas peperangan berakhir.
Cadangan Trump yang berulang kali mahu ‘mengambil alih’ Gaza dan menempatkan rakyat Palestin ke negara lain seperti Mesri serta Jordan masih belum jelas, tetapi mencetuskan kemarahan antarabangsa.
Perang Israel di Gaza menyebabkan sekurang-kurangnya 48,284 orang terbunuh, kebanyakan orang awam, menurut angka kementerian kesihatan wilayah itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, perang 15 bulan itu memusnahkan dan merosakkan lebih 69 peratus bangunan di Gaza, mengusir hampir keseluruhan penduduk serta mencetuskan krisis kebuluran.- AFP











