Hamas serah empat mayat tebusan Israel

Hamas serah empat mayat tebusan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hamas menyerahkan keranda mengandungi mayat empat tebusan Israel termasuk keluarga Bibas yang menjadi simbol nasional bagi penderitaan tebusan di Israel sejak perang bermula.

Pemindahan mayat itu adalah yang pertama oleh Hamas di bawah gencatan senjata fasa pertama rapuh yang sebelum ini menyaksikan pertukaran tebusan hidup dengan tahanan Palestin di penjara Israel.

Upacara pemulangan mayat Shiri Bibas bersama dua anak lelakinya, Kfir dan Ariel serta seorang lagi tebusan, Oded Lifshitz, yang berusia 83 tahun ketika diculik, berlangsung di bekas tanah perkuburan di bandar Khan Younis di selatan Gaza.

Sebelum pemindahan, Hamas mempamerkan empat keranda hitam di atas pentas yang didirikan di kawasan berpasir.

Setiap keranda mempunyai gambar kecil wajah tebusan dan model peluru berpandu berwarna putih yang diletakkan berhampiran keranda tertulis ‘Mereka dibunuh oleh bom Amerika Syarikat’.

Seorang anggota kumpulan pejuang duduk di pentas untuk melengkapkan dokumen bersama pegawai Palang Merah sebelum keranda dimuatkan ke dalam kenderaan Palang Merah, menurut imej AFPTV.

Tentera Israel kemudian mengesahkan mayat tebusan telah diserahkan kepada mereka dan agensi keselamatan dalaman Shin Bet di Gaza.

Ratusan orang berkumpul untuk menyaksikan upacara itu dan pagar didirikan untuk menghalang mereka daripada menghampiri kawasan pemindahan kepada Palang Merah.

Lelaki bersenjata dalam pakaian tentera dan memakai ikat kepala Hamas kelihatan di merata tempat, berdiri berhampiran pentas untuk upacara yang diatur dengan teliti seperti pemindahan tebusan sebelumnya semasa gencatan senjata berkuat kuasa.

Rakaman penculikan keluarga itu yang difilemkan dan disiarkan oleh Hamas semasa serangan mereka, menunjukkan shiri dan anak-anaknya, Ariel yang ketika itu berusia empat tahun dan Kfir yang baru berusia sembilan bulan, diculik dari rumah mereka berhampiran sempadan Gaza.

Yarden Bibas, bapa keluarga itu diculik secara berasingan pada hari sama dan dibebaskan dari Semenanjung Gaza dalam pertukaran tebusan pada 1 Februari lalu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×