Hamas sedia bebas semua tebusan Israel

Hamas sedia bebas semua tebusan Israel

PEJUANG Hamas berdiri di atas pentas yang dibina ketika penyerahan mayat empat tebusan Israel di Khan Younis di selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hamas bersedia membebaskan baki semua tebusan yang masih ditahan di Gaza secara serentak menerusi satu pertukaran dalam fasa kedua gencatan senjata.

Israel dan Hamas kini dalam proses melaksanakan fasa pertama gencatan senjata, yang berkuat kuasa sejak 19 Januari lalu walaupun terdapat tuduhan pelanggaran di kedua-dua pihak.

Selasa lalu, Menteri Luar Israel, Gideon Saar berkata, rundingan mengenai fasa kedua akan bermula minggu ini, yang dijangka memfokuskan usaha mengakhiri perang secara kekal.

“Kami memaklumkan pengantara bahawa Hamas bersedia untuk membebaskan semua tebusan dalam satu kumpulan semasa fasa kedua perjanjian, bukannya secara berperingkat seperti dalam fasa pertama ketika ini,” kata pegawai kanan Hamas, Taher al-Nunu.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah sebenar tebusan yang kini ditahan oleh Hamas atau kumpulan pejuang lain.

Menurut Taher, langkah itu bertujuan membuktikan kesungguhan dan kesediaan Hamas bergerak ke hadapan dalam menyelesaikan isu itu, serta meneruskan langkah ke arah mencapai gencatan senjata kekal.

Tawaran itu dibuat selepas Israel dan Hamas mengumumkan perjanjian untuk mengembalikan semua enam tebusan yang masih hidup dalam satu pertukaran hujung minggu ini.

Di bawah fasa pertama gencatan senjata, 19 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk lebih 1,100 tahanan Palestin melalui rundingan yang diuruskan oleh Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Hamas juga bersetuju mengembalikan mayat lapan tebusan yang maut dalam dua kumpulan pada minggu ini dan minggu hadapan.

Selepas fasa pertama selesai, masih terdapat baki 58 tebusan yang berada di Gaza.

Pegawai Majlis Hubungan Luar Eropah, Muhammad Shehada berkata, setelah lebih setahun serangan Israel yang memusnahkan itu, Hamas mahu menghalang perang disambung semula dalam apa jua cara, walaupun dengan beberapa ‘garis merah’ termasuk berundur dari Gaza.

Semalam, Hamas menyerahkan empat mayat tebusan, Oded Lifshitz bersama Shiri Bibas dan dua anak kecilnya, Kfir serta Ariel, yang menjadi simbol nasional di Israel bagi penderitaan tebusan.

Bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Yarden Bibas, ditawan secara berasingan pada 7 Oktober 2023 dan sudah dibebaskan dalam pertukaran tebusan sebelum ini.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN