BEIJING: China hari ini mengumumkan tarif tambahan ke atas beberapa produk dari Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas terhadap keputusan Presiden Donald Trump.
Kementerian Perdagangan dan Pentadbiran Am Kastam China berkata, Beijing mengenakan tarif tambahan ke atas barangan import tertentu yang berasal dari AS.
Ini termasuk, tarif 15 peratus ke atas arang batu dan gas asli cecair dan 10 peratus terhadap minyak mentah, jentera pertanian, kereta enjin besar serta trak pikap, lapor akhbar milik kerajaan, Global Times.
Kementerian itu menegaskan, tarif unilateral Washington ‘secara serius melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia’.
China juga memasukkan dua syarikat AS, PVH Group dan Illumina, ke dalam senarai entiti yang tidak boleh dipercayai.
“Kedua-dua entiti ini melanggar prinsip transaksi pasaran biasa dengan memotong urus niaga dengan perusahaan China dan menerima pakai langkah diskriminasi terhadap firma China, yang secara serius menjejaskan hak serta kepentingan sah syarikat China,” kata kementerian tersebut.
Beijing turut menegaskan ia akan mengenakan tarif 10 peratus hingga 15 peratus ke atas beberapa lagi produk AS bermula 10 Februari, lapor South China Morning Post.
Sementara itu, Pentadbiran Negeri China bagi Peraturan Pasaran berkata, ia melancarkan siasatan rasmi terhadap gergasi teknologi, Google, kerana disyaki melanggar undang-undang Anti-Monopoli China.
Semalam, Trump menggantung pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada pada saat-saat akhir, selepas bersetuju dengan jeda 30 hari sebagai pertukaran untuk konsesi mengenai penguatkuasaan sempadan di kedua-dua negara jiran.
Bagaimanapun, penangguhan itu tidak melibatkan China, yang masih tertakluk tarif 10 peratus yang dijadualkan berkuat kuasa pada Selasa.– AGENSI











