SANTIAGO: Pihak berkuasa Chile berjaya memulihkan bekalan elektrik di kebanyakan rumah hari ini, selepas gangguan yang jarang berlaku mencetuskan kekacauan pengangkutan di ibu negara.
Gangguan terburuk itu turut mendorong Presiden Gabriel Boric mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung di seluruh negara.
Berjuta-juta penduduk terputus bekalan elektrik selepas gangguan terburuk dalam lebih sedekad melanda Chile, petang semalam.
Boric menyalahkan syarikat swasta yang menguruskan grid elektrik di atas kegagalan sistem tersebut.
“Ini sungguh keterlaluan! Kehidupan harian jutaan rakyat Chile tidak boleh terjejas seperti ini oleh syarikat yang tidak menjalankan tugas mereka,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh pejabat presiden.
Awal hari ini, 90 peratus bekalan elektrik berjaya dipulihkan ke kediaman, menurut kenyataan pengendali sistem kuasa.
Agensi tindak balas bencana Senapred berkata, gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan kawasan meliputi Arica di utara negara hingga ke Los Lagos di selatan, melibatkan 90 peratus penduduk Chile.
Gangguan turut menganggu sistem pengangkutan di ibu negara, di mana ribuan penumpang terpaksa dipindahkan dari sistem metro dan bersesak menggunakan perkhidmatan bas.
Boric kemudiannya mengaktifkan darurat bencana dan mengumumkan perintah berkurung sehingga 6 pagi Rabu.- AFP











