Argentina ikuti jejak AS umum keluar WHO

Argentina ikuti jejak AS umum keluar WHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Argentina mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus menambah tekanan terhadap agensi antarabangsa yang bertanggungjawab menyelaras tindak balas kesihatan awam di peringkat global.

Pengumuman itu dibuat pada Rabu, hanya sebulan selepas langkah serupa diambil oleh Amerika Syarikat (AS).

Kedua-dua negara kini diperintah oleh pentadbiran berhaluan kanan ekstrem, dengan Presiden Argentina, Javier Milei mempunyai hubungan rapat dengan rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump di mana mereka sebelum ini mengkritik keras WHO atas cara agensi tersebut mengendalikan pandemik Covid-19.

Sebagai sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), WHO tidak mempunyai kuasa untuk memaksa negara anggota mematuhi garis panduannya.

Namun ia berperanan menyediakan penyelidikan dan cadangan bagi membantu negara-negara menangani krisis kesihatan awam seperti pandemik.

Semalam, Milei menyalahkan WHO atas nasihatnya mengenai penjarakan fizikal semasa pandemik Covid-19.

“Itulah sebabnya kami memutuskan untuk keluar daripada organisasi jahat ini yang menjadi alat pelaksana kepada eksperimen kawalan sosial terbesar dalam sejarah,” tulis Milei di media sosial.

Argentina menyumbang kira-kira AS$8.26 juta (RM36.56juta) kepada WHO setakat tahun 2024.

Dalam kenyataan rasmi kerajaan, pentadbiran Milei menuduh WHO memburukkan lagi krisis ekonomi di Argentina di samping turut mendakwa model penjarakan sosial yang disyorkan WHO melanggar Statut Rom 1998.

“Perintah berkurung telah menyebabkan salah satu bencana ekonomi terbesar dalam sejarah dunia,” menurut kenyataan itu.

Retorik keras Milei mencerminkan tindakan Trump pada 20 Januari lalu, apabila beliau menandatangani perintah eksekutif bagi menarik semula pembiayaan AS kepada WHO, hanya beberapa jam selepas memulakan penggal kedua sebagai Presiden AS. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN