RIYADH: Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi mengeluarkan arahan baharu melarang penggunaan kamera di masjid untuk merakam imam dan jemaah semasa solat, termasuk solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan.
Badan itu turut melarang penyiaran atau penstriman langsung semua solat berjemaah di masjid di mana-mana platform media, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Kementerian menyatakan bahawa langkah-langkah ini bertujuan memelihara kesucian masjid dan mengekalkan suasana yang sesuai untuk beribadat selain memastikan jemaah tidak terganggu.
Ia juga menekankan kepentingan imam dan pendakwah mematuhi garis panduan kementerian dan membimbing jemaah untuk mematuhi etika yang betul di dalam masjid.
Selain itu, kementerian itu turut menegaskan bahawa mengutip derma kewangan untuk menganjurkan juadah berbuka puasa di masjid juga tidak dibenarkan.
Jika makanan sedemikian diatur, ia harus diadakan di kawasan yang ditetapkan di bawah pengawasan pihak berkuasa yang berkaitan, sambil memastikan pematuhan dengan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan.
Ramadan di Arab Saudi dijangka bermula pada Sabtu, 1 Mac 2025, menurut perhitungan astronomi yang disampaikan oleh Presiden Astronomi Jeddah (JAS), Majed Abu Zahwa.
Sebanyak tujuh imam akan memimpin solat tarawih di Masjidil Haram sepanjang bulan Ramadan ini, termasuk Syekih Abdurrahman as-Sudais.










