50 negara terkesan pembekuan dana USAID

50 negara terkesan pembekuan dana USAID

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus mendedahkan, pembekuan bantuan luar berjumlah puluhan bilion dolar oleh Amerika Syarikat (AS) telah menjejaskan pelaksanaan program menangani HIV, polio, mpox dan selesema burung di seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tindakan itu susulan langkah Presiden AS, Donald Trump untuk menutup Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).

Bagaimanapun, Tedros merayu kepada pentadbiran Trump agar mempertimbangkan semula pembiayaan tersebut sekurang-kurangnya sehingga penyelesaian lain dapat dicari.

“Perkhidmatan rawatan HIV serta perkhidmatan kesihatan lain telah terganggu di 50 negara,” katanya dalam sidang media maya yang diadakan di Geneva, semalam.

Beliau menegaskan, tindakan AS membekukan dana program Rancangan Kecemasan Presiden untuk Bantuan AIDS (PEPFAR) telah menyebabkan gangguan serius terhadap rawatan, ujian serta pencegahan HIV.

“Banyak klinik telah ditutup dan pekerja kesihatan terpaksa diberhentikan buat sementara waktu,” ujarnya.

Trump sebelum ini menyifatkan USAID sebagai ‘tidak cekap dan korup’, malah mengumumkan pemotongan besar-besaran terhadap tenaga kerja agensi itu yang berjumlah 10,000 orang serta menggantung hampir semua program bantuannya dengan serta-merta.

Sebelum ini, USAID membelanjakan sekitar AS$40 bilion (RM178.25 bilion) setahun, kira-kira 0.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan AS.

Sebahagian besar dana itu digunakan bagi program kesihatan di Asia, Afrika Sub-Sahara dan Eropah, termasuk usaha bantuan kemanusiaan di Ukraine.

Malah, Elon Musk, jutawan teknologi yang terlibat dalam usaha Rumah Putih untuk mengecilkan saiz kerajaan persekutuan, turut mendakwa USAID adalah sebuah organisasi jenayah, walaupun beliau serta Trump tidak memberikan bukti kukuh bagi menyokong tuduhan itu.

Selain membekukan dana USAID, Trump juga mengambil langkah untuk menarik keluar AS daripada WHO.

Ketika di bawah pentadbiran Joe Biden, AS merupakan penyumbang terbesar kepada badan kesihatan dunia itu dengan menyumbang hampir satu perlima daripada bajet WHO pada tahun 2023.

Tambah Tedros, keputusan Trump itu menjejaskan kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman kesihatan global, termasuk mengurangkan pelaporan kes selesema burung dalam kalangan manusia oleh AS. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN