AMRITSAR: Seramai 104 warga India yang dihantar pulang dari Amerika Syarikat (AS) dengan sebuah pesawat tentera selepas Presiden, Donald Trump memperketat kawalan migran sebagai keutamaan pentadbirannya.
Pesawat jenis C-17 yang membawa kumpulan pendatang majoritinya berasal dari Gujarat, Maharashtra dan Punjab, mendarat di bandar Amritsar, barat laut India petang semalam (waktu tempatan).
Menurut pegawai AS, ia merupakan penerbangan jarak jauh terpanjang yang pernah dilakukan sejak pentadbiran Trump mula menggunakan pesawat tentera untuk tujuan penghantaran pulang pendatang asing.
Beberapa individu meluahkan kekecewaan mereka terhadap kesukaran yang dihadapi untuk memasuki AS, hanya untuk dihantar pulang sejurus selepas tiba.
Seorang warga India, Manriasat Singh memberitahu CNN, sepupunya, Akashdeep Singh, 23 berada dalam keadaan murung selepas dihantar pulang.
Katanya, Akashdeep berlepas ke AS tujuh bulan lalu dengan kos perjalanan mencecah AS$60,000 (RM265,495) menggunakan wang yang diperoleh bapanya selepasmenjual dua pertiga tanah mereka.
Namun, hanya beberapa minggu selepas tiba pada Januari lalu, beliau ditahan dan kemudian dihantar pulang.
“Keluarganya bersyukur dia tidak meringkuk dalam penjara selama 10 tahun. Sekurang-kurangnya dia masih hidup,” kata Manriasat.
Data kerajaan menunjukkan lonjakan ketara dalam jumlah warga India yang memasuki AS secara haram, daripada 8,027 orang pada tahun 2018-2019 kepada 96,917 orang dalam tempoh 2022-2023.
Golongan muda dari India, terutama yang mencari peluang pekerjaan, menjadi sebahagian besar daripada jumlah tersebut dan ramai antara mereka sanggup mengharungi perjalanan berbahaya melalui Amerika Latin sebelum tiba di sempadan selatan AS.
Sementara itu, kerajaan India telah menyatakan kesediaan mereka untuk menerima rakyatnya yang dihantar pulang, namun pemimpin tempatan mendesak tindakan lebih proaktif diambil bagi menangani punca masalah ini.
Menteri Hal Ehwal India, Kuldeep Singh Dhaliwal meminta kerajaan pusat mengadakan perbincangan segera dengan AS.
“Saya menyeru kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri, Narendra Modi, untuk duduk berbincang dengan Trump bagi mencari penyelesaian kepada masalah ini,” katanya kepada media tempatan selepas bertemu dengan kumpulan yang dihantar pulang. -AGENSI










