TikTok kembali beroperasi di AS, ucap terima kasih kepada Trump

TikTok kembali beroperasi di AS, ucap terima kasih kepada Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: TikTok memulihkan perkhidmatannya di Amerika Syarikat (AS) selepas menghentikan akses kepada pengguna apabila undang-undang mengharamkan aplikasi tersebut berkuat kuasa semalam.

Platform perkongsian video itu turut merakam penghargaan kepada Presiden terpilih, Donald Trump kerana menarik balik sekatan walaupun pentadbiran Presiden, Joe Biden sebelum ini menegaskan tidak akan menguatkuasakan sebarang larangan.

Akses TikTok kepada lebih 170 juta pengguna di seluruh AS dipadamkan selepas pemiliknya dari China, ByteDance enggan menjual anak syarikatnya di negara itu sehingga tarikh akhir yang ditetapkan pada 19 Januari.

Ketika berjuta-juta pengguna meluahkan kekecewaan selepas dihalang daripada mengakses aplikasi itu, Trump berjanji untuk mengeluarkan perintah eksekutif menangguhkan larangan bagi memberi lebih masa kepada syarikat itu membuat perjanjian baharu.

Beliau turut menyeru dalam satu catatan di platform Truth Socialnya untuk AS mengambil bahagian dalam pemilikan TikTok.

Trump berkata, beliau mahu AS mempunyai kedudukan pemilikan 50 peratus dalam usaha sama, dengan alasan bahawa nilai aplikasi itu boleh melonjak kepada ratusan bilion atau mungkin mencecah trillion dolar.

“Dengan melakukannya, kami menyelamatkan TikTok, menyimpannya dalam tangan yang baik,” tulis Trump yang sebelum ini menyokong larangan TikTok dan semasa penggal pertamanya memegang jawatan membuat langkah ke arah satu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman X berikutan komen Trump, TikTok berkata, pihaknya sedang dalam proses memulihkan perkhidmatan kepada pengguna.

“Kami berterima kasih kepada Presiden Trump kerana memberikan kejelasan dan jaminan yang diperlukan kepada penyedia perkhidmatan kami bahawa mereka tidak akan berdepan hukuman kerana memberikan akses TikTok kepada lebih 170 juta rakyat AS,” katanya.

Dalam pada itu, Beijing turut menggesa Washington untuk mendengar ‘suara rasional’ berhubung larangan itu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning juga berkata, Beijing sentiasa mementingkan usaha melindungi privasi dan keselamatan data.

“Kami tidak pernah dan tidak akan meminta syarikat atau individu untuk mengumpul mahu pun menyediakan data asing dari negara luar dengan cara yang melanggar undang-undang tempatan,” katanya.

TikTok yang kembali dalam talian di AS pada sekitar tengah hari tadi bagaimanapun tidak menjawab gesaan Trump berhubung pemilikan syarikat.

Penganalisis Wedbush Securities Dan Ives memberitahu AFP, episod itu menandakan kemenangan besar untuk TikTok dan kemenangan politik untuk Trump, menyamakannya dengan taruhan tinggi antara AS dan China.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN