Singapura-Malaysia perlu saling membantu

Singapura-Malaysia perlu saling membantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TAHUN ini Malaysia dan Singapura akan meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Dalam tempoh ini dan sebagai jiran terdekat, banyak isu yang timbul dan yang kritikal seperti isu air, sempadan, ekonomi dan pelaburan.

Perdana Menteri Singapura, LAWRENCE WONG dalam temu bual bertulis dengan wartawan Mingguan Malaysia, AZNAN BAKAR menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai rakan kerjasama strategik utama mereka di rantau ini dalam pelbagai bidang.

Kata beliau hubungan Singapura-Malaysia berbeza dengan yang lain dan kedua-dua negara saling bergantung ibarat ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’. Dalam temu bual itu beliau turut menyentuh mengenai pertikaian di Laut China Selatan dan pentingnya kestabilan dan kerjasama erat dalam ASEAN.

 

MINGGUAN MALAYSIA: Mengapakah ia penting untuk ASEAN kekal bersatu dengan satu suara dalam menghadapi isu-isu? Apakah cabarannya? Bagaimanakah cabaran-cabaran ini boleh diatasi?

LAWRENCE WONG: Selama hampir 60 tahun, ASEAN telah membantu rantau kita yang rencam ini membentuk norma-norma dan membiasakan tabiat kerjasama.

Walaupun kita tidak semestinya setuju dalam semua perkara, kita mengutamakan dialog, dan mencari jalan untuk bekerjasama, serta mengelakkan persengketaan. Ini merupakan aset yang berharga.

Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini berlaku pada saat genting dalam usaha penyepaduan kita. Kita akan menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2025, meraikan ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur, dan memacu Grid Kuasa ASEAN serta Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN.

Saya yakin bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN akan terus bersatu dan kita akan memperkukuh Pemusatan ASEAN, sementara mempererat hubungan dengan rakan-rakan luar kita.

 

Mengapakah Singapura memerlukan persekitaran kejiranan yang stabil? Apakah peranan yang boleh dimainkan Singapura untuk membantu jiran-jiran ASEAN yang kurang membangun?

Semua negara tidak kira besar atau kecil, mahukan sekitaran luaran yang stabil. Ini membolehkan kita memberikan tumpuan pada usaha memperbaiki mutu kehidupan rakyat dan memajukan agenda positif dengan jiran-jiran kita untuk saling bermanfaat. Singapura percaya bahawa apabila rantau kita maju, kehidupan kita semua akan bertambah baik. Inilah sebabnya kami melancarkan Inisiatif untuk Integrasi ASEAN (IAI) semasa Kepengerusian ASEAN kami pada tahun 2000 bagi merapatkan jurang pembangunan dengan anggota-anggota baharu ASEAN. Singapura merupakan penyumbang terbesar kepada IAI dan telah mengikrarkan S$170 juta terhadap usaha tersebut.

Singapura tidak mempunyai sumber semula jadi. Kisah Si­ngapura dicorak dengan usaha untuk memenuhi potensi semua rakyat kami. Kami percaya bahawa ini juga cara terbaik untuk memberi bantuan dalam usaha pembangunan.

Program Kerjasama Singapura (SCP) bertujuan untuk berkongsi usaha pembangunan Singapura melalui peningkatan kemahiran, perkongsian ilmu dan pertukaran pengalaman. Sudah tentu, kami mengutamakan jiran-jiran kami dalam usaha ini. Sejak dimulakan pada tahun 1992, SCP telah menerima lebih daripada 97,000 pegawai dari rantau kita.

 

Bagaimanakah Singapura melihat pertikaian di Laut China Selatan? Adakah terdapat sebarang campur tangan diplomatik dari Singapura? Adakah Singapura merasakan bahawa ini merupakan isu bagi negara-negara yang terbabit sahaja?

Singapura tidak mempunyai tuntutan dan tidak memihak kepada mana-mana pihak yang membuat tuntutan tersebut. Kami harap semua pihak mengelakkan daripada memburukkan keadaan dan berusaha untuk terus mengekalkan dialog, menyelesaikan pertikaian secara aman, memelihara ketenteraman dan kestabilan serta memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut PBB 1982 (UNCLOS).

 

Bagaimanakah hubungan Singapura dengan Malaysia? Adakah Malaysia jiran yang baik?

Kedua-dua negara kita berkongsi sejarah yang kaya dan amat saling bergantung antara satu sama lain. Jadi, ia merupakan satu hubungan tidak seperti lain. Ada peribahasa Melayu yang menggambarkan dengan baik hubungan kita ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’. Apabila kita berganding bahu, kita mampu menghadapi masa-masa senang dan masa-masa susah yang mungkin timbul. Sebagai contoh, ketika Covid-19 melanda, kita menyaksikan betapa kita saling bergantung kepada satu sama lain dan bekerjasama dengan berkesan untuk menangani pandemik tersebut.

 

Apakah kepentingan kestabilan di negara jiran sesebuah negara daripada segi ekonomi dan politik? Bagaimanakah perubahan cepat dalam kepimpinan Malaysia telah memberikan kesan terhadap hubungan tersebut?

Kita semua saling bermanfaat apabila negara-negara jiran kita stabil, berjaya dan makmur. Kita dapat saling bekerjasama dan melabur dengan satu sama lain, selain merancang untuk jangka panjang.

Sejak Perdana Menteri Anwar menerajui kepimpinan dua tahun lalu, Malaysia telah menikmati kestabilan politik dan ekonomi yang lebih kukuh dan juga sedang membangun dengan pesat. Dari segi hubungan dua hala, saya menghargai sokongan kuat Perdana Menteri Anwar terhadap kerjasama kita dalam pelbagai bidang. Saya berbesar hati kerana Perdana Menteri Anwar adalah pemimpin asing yang pertama menelefon dan mengucapkan tahniah kepada saya selepas saya menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kami telah bertemu beberapa kali sejak itu dan akan bertemu lagi di Putrajaya untuk Pemukiman Pemimpin pertama kami di mana kami berharap untuk mengambil langkah utuh untuk mencapai agenda kerjasama positif.

Pemukiman tersebut sepatutnya diadakan bulan lepas. Sayangnya, saya dijangkiti Covid-19 hanya beberapa hari sebelum itu. Perdana Menteri Anwar amat bersimpati dan saya berterima kasih kepada beliau kerana bersetuju untuk menangguhkan pertemuan kami.

 

Apakah isu utama antara Singapura dan Malaysia yang perlu dihuraikan dengan segera dan tidak boleh ditangguh? Bagaimanakah Singapura menangani isu-isu dengan Malaysia yang belum terhurai, terutama sekali isu mengenai air?

Isu-isu antara negara jiran pasti akan timbul dari semasa ke semasa. Kuncinya terletak pada cara kita menangani perbezaan yang wujud antara kita secara pragmatik dan mengambil kira hubungan yang sudah terjalin. Kerana ada isu-isu tertentu yang tidak dapat diselesaikan dengan tergesa-gesa.

Mengenai air pula, kita telah bekerjasama dengan baik. Sebagai contoh pada 1990-an, kedua-dua negara bersetuju membina Empangan Linggiu untuk meningkatkan hasil Sungai Johor demi memastikan bekalan airnya yang mampan. Ia penting bagi kedua-dua negara kita untuk memastikan Sungai Johor terus mempunyai air mencukupi. Lebih-lebih lagi kerana keperluan air Johor sendiri akan meningkat seiring waktu.

Terdapat banyak cara untuk kita bekerjasama dalam hal ini. Para pegawai kita giat membincangkan perincian kerjasama kita mengenai isu-isu air. Saya juga mengalu-alukan jaminan Malaysia untuk terus menghormati Perjanjian Air Sungai Johor 1962.

 

Bagaimanakah kita boleh memperbaiki pergerakan rakyat antara Singapura dan Malaysia?

Sempadan darat kita adalah antara yang paling sibuk di dunia. Jumlah orang yang merentas sempadan kita dalam sehari boleh mencecah lebih setengah juta. Ini tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama yang erat dan konsisten oleh para petugas di barisan hadapan setiap hari.

Dan kita sedang melakukan lebih banyak lagi bagi memudahkan dan menambah baik pergerakan orang ramai. Satu projek utama ialah Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link), yang akan mula beroperasi menjelang akhir 2026 dan mampu membawa lebih ramai penumpang dalam sejam berbanding perkhidmatan KTM Shuttle Tebrau kini dalam sehari.

Singapura juga sedang merancang pembangunan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands bagi memenuhi dengan lebih baik pertumbuhan jangka panjang dalam perjalanan rentas sempadan.

 

Adakah perdagangan antara Singapura dengan Malaysia masih kukuh meskipun keadaan politik menjadi kurang stabil sejak PRU14 pada 2018? Adakah pelaburan Singapura di Malaysia semakin berkembang, atau adakah Singapura bercadang untuk melabur di negara-negara ASEAN yang lain? Adakah Singapura berpuas hati dengan kemajuan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)? Adakah ia akan berjaya?

Perdagangan dua hala semakin meningkat dan aliran pelaburan kekal teguh. Pada 2022, Singapura merupakan sumber utama pelaburan langsung asing ke Malaysia. Malaysia kekal sebagai salah satu pilihan utama dalam negara-negara ASEAN bagi pelaburan Singapura. Syarikat-syarikat Singapura melihat banyak peluang dalam pelbagai bidang di Malaysia , perkilangan, hospitaliti, elektronik, makanan, dan sebagainya.

 

Adakah terdapat sebarang rintangan mengenai JS-SEZ yang Singapura rasa perlu ditangani dengan segera? Apakah keprihatinan utama Singapura mengenai projek ini?

Kami akan memberikan perhatian khusus dalam memastikan syarikat-syarikat kami, termasuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana, mempunyai maklumat dan keupayaan yang diperlukan untuk memanfaatkan sepenuhnya JS-SEZ. Agensi-agensi di kedua-dua belah pihak perlu memastikan bahawa SEZ terus dikemas kini bagi memenuhi keperluan syarikat-syarikat kita dan bekerja rapat dengan rakan-rakan kongsi utama bagi mempersiapkan para pekerja kita untuk pekerjaan baharu yang akan diwujudkan hasil daripada projek ini.-MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN