MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menyatakan kemungkinan krisis Ukraine yang tercetus pada tahun 2022 tidak akan berlaku sekiranya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berjaya mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya 2020.
Dalam satu wawancara bersama saluran televisyen Rossiya 1, Putin berkata, Russia kekal terbuka untuk rundingan damai berkaitan konflik Ukraine, sambil menegaskan Moscow tidak pernah menolak peluang untuk berhubung dengan pentadbiran AS.
Namun begitu, beliau mendakwa pentadbiran AS di bawah pimpinan bekas Presiden, Joe Biden memilih untuk tidak meneruskan hubungan tersebut.
Menyentuh mengenai hubungannya dengan Trump, Putin menggambarkannya sebagai bersifat perniagaan, pragmatik, dan berdasarkan kepercayaan.
Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Trump sekiranya kemenangan pemimpin itu tidak dirampas dalam pilihan raya 2020, krisis Ukraine mungkin dapat dielakkan.
“Trump semasa pentadbirannya telah mengenakan sejumlah besar sekatan ke atas Russia. Saya tidak fikir langkah itu adalah untuk kepentingan terbaik Russia atau AS.
“Tetapi Biden meneruskan dasar tersebut dengan sekatan yang lebih banyak, dan kita semua tahu akibatnya, termasuk kesan negatif terhadap ekonomi AS sendiri,” ujar Putin.
Beliau turut mengulas tentang kedudukan dolar AS yang menurutnya telah melemah sebagai mata wang global selepas Washington menghalang Moscow daripada menggunakannya sebagai unit pembayaran.
“Kami tidak pernah menolak penggunaan dolar AS, tetapi pentadbiran sebelumnya menghalang kami.
“Namun, saya tidak akan mengulas lanjut. Apa yang boleh saya katakan, kami mendengar kenyataan presiden semasa bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama, dan kami tetap terbuka,” tambah beliau.
Walaupun wujud cabaran besar, Putin berharap hubungan yang lebih konstruktif antara Russia dan AS dapat dibentuk, khususnya dalam isu kestabilan strategik, ekonomi dan pengeluaran tenaga.
“Kami bukan sahaja pengeluar tenaga terbesar, tetapi juga pengguna terbesar. Harga tenaga yang terlalu tinggi atau terlalu rendah memberi kesan buruk kepada ekonomi kedua-dua negara. Banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama,” katanya.
Bagaimanapun, Putin menyatakan keraguan terhadap ancaman Trump untuk mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Russia, sambil menegaskan beliau mungkin tidak akan mengambil langkah yang memudaratkan ekonomi AS.
“Kami bersedia untuk berbincang mengikut realiti hari ini, tetapi keputusan untuk mewujudkan dialog ini bergantung kepada pilihan pentadbiran semasa AS,” tegas beliau. -AGENSI











