Pempengaruh sanggup racun anak sendiri demi raih sumbangan

Pempengaruh sanggup racun anak sendiri demi raih sumbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRISBANE: Seorang pempengaruh dari Queensland, Australia didakwa menyebabkan keracunan kepada anak perempuannya yang berusia setahun demi untuk meraih sumbangan dan meningkatkan jumlah pengikutnya di media sosial.

Wanita berusia 34 tahun itu mendakwa sedang merakam perjuangan anaknya yang menghidap penyakit terminal di media sosial, namun detektif mendakwa dia memberi ubat kepada anaknya dan merakamkan keadaan kanak-kanak itu yang berada dalam kesakitan yang amat sangat.

Doktor mula menghidu tindakannya itu pada Oktober lalu ketika bayi tersebut dimasukkan ke hospital akibat mengalami episod perubatan yang serius.

Setelah beberapa bulan menjalankan siasatan, wanita itu didakwa atas tuduhan penyeksaan, memberi racun, menghasilkan bahan eksploitasi kanak-kanak dan penipuan.

Detektif mendakwa antara Ogos dan Oktober, wanita itu, yang berasal dari kawasan Sunshine Coast, telah memberi beberapa ubat preskripsi dan ubat farmasi kepada anaknya tanpa kelulusan.

Wanita itu didakwa berusaha keras untuk mendapatkan ubat yang tidak dibenarkan dan menyembunyikan perbuatannya, termasuk menggunakan lebihan ubat milik ahli keluarga lain di rumah mereka.

Polis memulakan siasatan pada 15 Oktober apabila bayi itu dibawa ke hospital dalam keadaan sakit dengan gangguan emosi dan fizikal yang teruk.

Ujian terhadap ubat yang tidak dibenarkan mengesahkan hasil positif pada Januari, menurut pihak polis.

Namun, Inspektor Paul Dalton dari Polis Queensland berkata, kanak-kanak itu kini selamat dan sedang pulih dengan baik.

“Wanita itu berjaya mengumpul A$60,000 (RM270,141) melalui sumbangan di GoFundMe, yang kini sedang cuba dipulangkan,” kata Dalton.

Wanita itu dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Brisbane pada Jumaat ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×