TEL AVIV: Keluarga empat tebusan Israel yang dibebaskan dari Gaza melalui perjanjian gencatan senjata kelmarin menggesa pembebasan semua tahanan lain yang masih ditahan di wilayah Palestin itu.
Dalam satu kenyataan sehari selepas ahli keluarga mereka kembali ke Israel, keluarga tersebut turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang memainkan peranan penting dalam perjanjian itu, walaupun sebelum beliau memulakan pentadbiran secara rasmi pada hari Isnin.
Menurut Yoni Levy, anak perempuannya, Naama Levy, adalah seorang daripada empat tebusan yang dibebaskan pada Sabtu lalu.
“Naama kini selamat bersama kami, tetapi perjuangan ini belum berakhir,” katanya.
Sasha Ariev, kakak kepada tebusan yang dibebaskan Karina Ariev, turut berterima kasih kepada Trump.
“Terima kasih yang sangat istimewa ditujukan kepada Presiden Trump.
“Anda membuat perjanjian ini berhasil, selepas berbulan-bulan di mana rasanya semua harapan telah hilang,” katanya.
Keempat-empat wanita yang merupakan anggota tentera itu dibebaskan oleh kumpulan bersenjata Hamas dan Jihad Islam selepas ditahan lebih 15 bulan.
Pembebasan tersebut adalah sebahagian daripada pertukaran dengan 200 tahanan Palestin yang berada dalam tahanan Israel.
Pihak hospital berhampiran Tel Aviv yang merawat mereka memaklumkan, keadaan keempat-empat bekas tebusan adalah stabil.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari lepas melibatkan pembebasan 33 tebusan termasuk wanita, kanak-kanak, lelaki berusia lebih 50 tahun serta mereka yang cedera atau sakit.
Pertukaran tersebut dilakukan dengan 1,900 tahanan Palestin di penjara Israel dan rundingan lanjut akan menentukan masa depan tebusan yang tidak termasuk dalam senarai 33 orang tersebut.
Semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 di selatan Israel, kumpulan tersebut menawan 251 tebusan dan sehingga kini, seramai 87 orang masih berada di Gaza, termasuk 34 tebusan yang disahkan oleh tentera Israel telah meninggal dunia.
Mayat seorang anggota tentera Israel yang terkorban dalam perang Gaza 2014 serta dua orang awam lain yang telah ditahan sejak beberapa tahun lalu juga termasuk dalam perjanjian gencatan senjata ini. -AGENSI










