GAZA: Ribuan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal dihalang daripada pulang ke rumah mereka di utara Gaza selepas Israel menyekat jalan utama dan menuduh Hamas melanggar syarat perjanjian gencatan senjata.
Pertikaian itu berlaku selepas Hamas menyerahkan empat askar wanita Israel dan rejim membebaskan 200 tahanan Palestin.
Namun, kerajaan Israel menyatakan rakyat Gaza tidak dibenarkan untuk menuju ke utara sehingga pelan pembebasan seorang tebusan wanita, Arbel Yehud, 29.
Hamas menegaskan bahawa tebusan dikehendaki Israel masih hidup dan akan dibebaskan minggu depan.
Menurut perjanjian itu, Hamas akan membebaskan orang awam sebelum tentera.
Dalam kejadian pada Sabtu, Israel dilaporkan melepas tembakan ketika orang ramai berkumpul di sepanjang jalan al-Rashid di tengah Gaza untuk kembali ke rumah mereka.
Memetik Kementerian Kesihatan Gaza dan media Palestin, seorang individu dilaporkan terbunuh dan beberapa yang lain cedera.
Empat das tembakan boleh didengari menerusi video mengenai kejadian, yang disiarkan dalam talian.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) mendakwa, tembakan itu dilepaskan selepas beberapa perhimpunan yang melibatkan puluhan orang dianggap menimbulkan ancaman kepada pasukannya.
Beribu-ribu rakyat Palestin yang dipindahkan dari utara Gaza semasa perang sepatutnya dijangka pulang bermula Ahad, di bawah perjanjian gencatan senjata.
Bagaimanapun, Israel menegaskan pasukannya tidak akan berundur dari Koridor Netzarim, sekali gus melarang rakyat Palestin untuk kembali ke utara Gaza.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan rakyat Palestin di Gaza tidak dibenarkan menyeberang kembali ke bahagian utara sehingga pembebasan Yehud dibuat.
Susulan itu, Hamas menuduh Israel menangguhkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
“Kami menganggap pendudukan Israel bertanggungjawab terhadap sebarang gangguan dalam melaksanakan perjanjian dan kesannya ke atas stesen yang lain,” kata kumpulan pejuang.
Pengantara Qatar dan Mesir masih dalam usaha untuk membenarkan ratusan ribu rakyat Palestin kembali ke utara wilayah.
Namun, kereta kebal Israel masih menghalang jalan pantai yang menjadi laluan untuk penduduk Gaza menyeberang ke utara.–AGENSI










