Guru sekolah digantung gelar pelajar Palestin ekstremis

Guru sekolah digantung gelar pelajar Palestin ekstremis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang guru sekolah awam di Pennsylvania digantung sementara selepas didakwa menggelar seorang pelajar Palestin-Amerika sebagai ekstremis, menurut kenyataan yang dikeluarkan sebuah kumpulan advokasi Islam.

Menurut Kenyataan dari Central Dauphin School District pada Sabtu lalu, pihak mereka mengetahui dakwaan tersebut.

Jelasnya, guru berkenaan telah mengeluarkan komen ‘Saya tidak berunding dengan pengganas’ ketika pelajar tersebut memohon untuk tempat duduk dalam satu program selepas waktu sekolah minggu lalu.

Pihak daerah sekolah tersebut menegaskan mereka tidak bertoleransi terhadap sebarang ucapan berbaur perkauman dan sedang menjalankan siasatan dalaman.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan identiti guru atau pelajar terbabit.

Dalam pada itu, Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) yang turut terlibat dalam perkara ini, mengesahkan mereka sedang berhubung dengan ibu bapa pelajar tersebut mengenai insiden berkenaan.

Insiden ini berlaku dalam suasana kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kebencian anti-Islam dan anti-Palestin di AS sejak serangan pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza.

Pihak pembela hak asasi manusia turut memaklumkan terdapat peningkatan insiden kebencian terhadap golongan umat Islam, warga Palestin dan Yahudi di seluruh negara.

Ia termasuk kes cubaan menyerang seorang kanak-kanak Palestin-Amerika berusia tiga tahun di Texas dan pembunuhan seorang lagi berusia enam tahun di Illinois.

Selain itu, kes-kes serangan terhadap individu beragama Islam turut meningkat, seperti serangan ke atas seorang lelaki  di New York, serangan ke atas protes pro-Palestin di California dan kes tembakan terhadap tiga pelajar Palestin-Amerika di Vermont. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN