DAMSYIK: Seramai 35 individu, kebanyakannya bekas pegawai rejim Bashar al-Assad, dilaporkan dihukum mati dalam tempoh 72 jam oleh kumpulan pejuang yang bersekutu dengan pemimpin baharu Syria, menurut pemantau perang.
Pihak berkuasa yang dilantik oleh pasukan pejuang selepas menjatuhkan Bashar bulan lalu turut memaklumkan mereka telah menahan beberapa individu di kawasan barat Homs atas pelanggaran tertentu yang tidak dinyatakan.
Agensi berita rasmi SANA melaporkan, pihak berkuasa pada Jumaat menuduh ahli kumpulan jenayah menggunakan operasi keselamatan sebagai alasan untuk melakukan penderaan terhadap penduduk, dengan menyamar sebagai anggota pasukan keselamatan.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), tangkapan ini menyusuli pelanggaran berat dan hukuman bunuh ringkas yang mengorbankan 35 nyawa dalam tempoh 72 jam lalu.
Pemantau yang berpangkalan di Britain itu turut mendedahkan ahli-ahli daripada kumpulan minoriti agama turut mengalami penghinaan dan layanan buruk.
Kebanyakan mangsa hukuman mati adalah bekas pegawai kerajaan rejim Assad yang menyerah diri di pusat-pusat yang ditubuhkan pihak berkuasa baharu.
SOHR juga melaporkan puluhan ahli kumpulan bersenjata tempatan di bawah kawalan gabungan yang kini memerintah telah ditahan.
Kumpulan ini dikatakan mengambil kesempatan daripada keadaan huru-hara, lambakan senjata dan hubungan dengan pihak berkuasa baharu untuk melakukan balas dendam terhadap anggota minoriti Alawite, kumpulan agama Bashar.
Tindakan itu didakwa melibatkan penangkapan sewenang-wenangnya, penyeksaan kejam, serangan terhadap simbol agama, mencacatkan mayat serta pembunuhan kejam terhadap orang awam.
Sementara itu, kumpulan masyarakat sivil, Civil Peace Group dalam kenyataannya mengecam kekejaman yang tidak berasas, termasuk pembunuhan lelaki tidak bersenjata di beberapa kampung sekitar Homs.
Sejak mengambil alih kuasa, kepimpinan baharu berusaha meyakinkan minoriti agama dan etnik di Syria hak mereka akan dilindungi.
Namun, ahli komuniti Alawite terus menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan balas dendam berikutan penyalahgunaan kuasa yang berlaku sepanjang pemerintahan Assad. -AFP










