GENEVA: Sekumpulan besar wanita dan kanak-kanak mencari makanan di antara timbunan sampah di beberapa bahagian di Semenanjung Gaza, lapor pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membuat lawatan ke wilayah terkepung itu.
Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia PBB untuk Wilayah Palestin, Ajith Sunghay turut menyatakan kebimbangan mengenai tahap kebuluran rakyat Palestin, walaupun agensi bantuan mempunyai pasukan di lapangan.
“Saya amat bimbang dengan kelaziman kebuluran. Memperoleh keperluan asas telah menjadi perjuangan harian yang mengerikan untuk terus hidup,” kata Sunghay memberitahu taklimat akhbar Geneva melalui pautan video dari Jordan.
Menurut Sunghay, PBB tidak dapat mengagihkan sebarang bantuan ke utara Gaza yang dihuni lebih 70,000 orang berikutan halangan dan sekatan berterusan terhadap konvoi kemanusiaan oleh pihak berkuasa Israel.
Sunghay mengadakan lawatan ke kem perlindungan sementara menempatkan ribuan penduduk yang dipindahkan dari bahagian utara Gaza baru-baru ini.
Katanya, penduduk Palestin di Gaza kini hidup dalam keadaan yang mengerikan dengan kekurangan makanan yang teruk dan sanitasi yang buruk.
“Sangat jelas bahawa bantuan kemanusiaan secara besar-besaran perlu masuk tetapi tidak berlaku. Adalah sangat penting pihak berkuasa Israel mewujudkan perkara ini,” katanya.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin menetapkan pada bulan Oktober untuk Israel melaksanakan langkah menangani situasi di Gaza dalam masa 30 hari.
Mereka memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian mungkin memberi kesan ke atas bantuan ketenteraan AS kepada Israel.
Tetapi pada 12 November lalu, Jabatan Negara berkata, pentadbiran Presiden, Joe Biden membuat kesimpulan bahawa Israel pada masa ini tidak menghalang bantuan ke Gaza dan tidak melanggar undang-undang AS.
Badan COGAT Israel turut mendakwa pihaknya sudah memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menuduh agensi PBB tidak mengagihkannya dengan cekap.
Sementara itu, delegasi Hamas dilaporkan tiba di Kaherah semalam untuk rundingan dengan pegawai Mesir mengenai gencatan senjata di Gaza.
Lawatan itu diadakan beberapa hari selepas AS mengumumkan usaha baharu bersama Qatar, Mesir dan Turkiye untuk menghidupkan semula rundingan tersebut yang gagal dicapai menerusi beberapa usaha sejak awal tahun ini.-REUTERS










