Turkiye buka pintu sempadan bantu pelarian Syria pulang

Turkiye buka pintu sempadan bantu pelarian Syria pulang

RECEP TAYYIP ERDOGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Turkiye mengambil langkah membuka semula pintu sempadan Yayladagi yang menghubungkan negara itu dengan Syria bagi menguruskan kepulangan selamat dan sukarela jutaan pelarian Syria yang berlindung di Turkiye, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan semalam.

Langkah itu diumumkan susulan perkembangan besar di Asia Barat apabila pejuang berjaya menawan ibu negara Syria, Damsyik, menyebabkan bekas Presidennya, Bashar al-Assad melarikan diri ke Russia.

Kejayaan kumpulan itu menamatkan perang saudara selama 13 tahun dan lebih lima dekad pemerintahan kejam oleh keluarga Assad.

“Kami membuka pintu sempadan Yayladagi untuk mengelakkan kesesakan dan melancarkan pergerakan di kawasan sempadan,” kata Erdogan selepas mesyuarat kabinet di Ankara.

Pintu sempadan Yayladagi, yang terletak berhampiran wilayah barat laut Syria, telah ditutup sejak 2013 akibat pertempuran di kawasan berkenaan.

“Kami juga akan menguruskan kepulangan para pelarian secara sukarela dan bermaruah, sejajar dengan prinsip hospitaliti yang telah kami amalkan,” tambah beliau.

Menteri Luar, Hakan Fidan, sebelum ini berkata, Turkiye akan berusaha memastikan pelarian Syria dapat kembali ke tanah air mereka dengan selamat.

Dalam ucapannya di Persidangan Duta Besar Turkiye di Ankara, beliau menegaskan kesediaan Turkiye untuk menyokong usaha pemulihan Syria dan bekerjasama dengan semua pihak serantau.

“Turkiye akan terus berdiri bersama rakyat Syria dalam fasa baharu ini di Damsyik. Namun, kumpulan seperti Daesh dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang kami anggap sebagai organisasi pengganas, tidak boleh mengambil kesempatan daripada situasi ini,” katanya.

Walaupun Turkiye telah lama menyokong kumpulan pejuang Syria, Ankara menafikan penglibatan langsung dalam serangan ke atas Assad yang dilakukan oleh pasukan pembangkang. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN