Tahanan Palestin alami keracunan makanan, tak dilayan seperti manusia

Tahanan Palestin alami keracunan makanan, tak dilayan seperti manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Sebilangan besar tahanan Palestin di Penjara Etzion, selatan Baitulaham di wilayah Tebing Barat yang diduduki, dilaporkan mengalami keracunan makanan serius selepas diberi makanan rosak yang disediakan pihak penjara, lapor kumpulan hak asasi tahanan Palestin, semalam.

Persatuan Tahanan Palestin memaklumkan dalam satu kenyataan, seorang peguam yang melawat sembilan tahanan di Pusat Tahanan Etzion pada Ahad mengesahkan mereka menunjukkan simptom keracunan selepas menikmati hidangan yang disajikan.

“Ini bukan kali pertama kes keracunan berlaku di Etzion. Insiden serupa telah direkodkan beberapa kali sejak beberapa tahun lalu,” jelas kenyataan itu.

Koordinator Media Persatuan Tahanan Palestin, Amani Sarahna memberitahu agensi berita Anadolu, Etzion berfungsi sebagai pusat tahanan dan siasatan sementara sebelum tahanan dipindahkan ke fasiliti lain dan ketika ini, pusat tersebut menempatkan seramai 111 orang.

Beliau menegaskan tahanan yang mengalami keracunan tidak menerima sebarang rawatan perubatan.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, berdasarkan maklumat daripada peguam yang menghadapi kesukaran melawat tahanan pada Ahad, para tahanan mengalami gejala seperti sakit perut teruk, cirit-birit, muntah, kelemahan badan, muka kekuningan, kehilangan cecair, serta ketidakupayaan untuk berdiri malah, beberapa tahanan dilaporkan pengsan.

Suruhanjaya itu menuduh pentadbiran penjara sengaja mengenakan hukuman berat terhadap tahanan sejak serangan ke atas Gaza bermula.

Hukuman itu termasuk membiarkan tahanan kelaparan, menyediakan makanan berkualiti rendah serta memukul dan menghukum tahanan yang membantah dengan kurungan bersendirian.

“Kami menyeru semua organisasi antarabangsa untuk campur tangan segera bagi meringankan penderitaan tahanan dan memastikan keselamatan mereka di penjara Israel,” tegas Suruhanjaya tersebut.

Menurut laporan Persatuan Tahanan Palestin, terdpat lebih 12,000 penangkapan direkodkan di Tebing Barat sejak perang ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober 2023.

Angka itu termasuk puluhan pekerja Palestin serta ribuan penduduk Gaza, yang jumlah sebenarnya masih belum didokumentasikan sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN