DAMSYIK: Imej satelit terbaharu menunjukan Russia mula mengangkut peralatan ketenteraannya keluar dari pangkalan tentera udara di Syria selepas pasukan pejuang menubuhkan kerajaan interim bagi menggantikan rejim bekas Presiden, Bashar al-Assad yang digulingkan hujung minggu lalu.
Menurut imej satelit yang dikeluarkan oleh Maxar Technologies kelmarin, kelihatan sekurang-kurangnya dua pesawat kargo Antonov AN-124 dengan hujungnya terbuka di pangkalan udara Hmeimim di wilayah pantai Latakia.
“Dua pesawat pengangkut berat An-124 berada di lapangan terbang dan kedua-duanya dengan bahagian hadapan terbuka, bersiap sedia memuatkan peralatan atau kargo.
“Berdekatan, kelihatan sebuah helikopter penyerang Ka-52 sedang dipunggah dan berkemungkinan bersedia untuk mengangkut muatan manakala elemen unit pertahanan udara S-400 juga sedang bersiap untuk berlepas dari tapak penempatan sebelumnya di pangkalan udara.
“Pangkalan tentera laut di Tartous yang merupakan satu-satunya hab pembaikan dan penambahan semula Mediterranean Russia, sebahagian besarnya kekal tidak berubah sejak liputan imej 10 Disember lalu dengan dua frigat terus diperhatikan di luar pesisir,” jelas Maxmar.
Berita Channel 4 Britain melaporkan melihat konvoi lebih 150 kenderaan tentera Russia bergerak di sepanjang jalan di kawasan itu.
Saluran itu berkata, tentera Russia bergerak dalam keadaan baik, memperlihatkan kemungkinan wujud perjanjian yang dibuat untuk membenarkan tentera Moscow keluar dari Syria dengan selamat dan teratur.
Kementerian Pertahanan Russia bagaimanapun enggan mengulas mengenai situasi terkini itu.
Moscow menyokong Syria sejak zaman awal Perang Dingin, mengiktiraf kemerdekaannya pada 1944 ketika Damsyik berusaha untuk menghapuskan pemerintahan kolonial Perancis.
Barat lama menganggap Syria sebagai satelit Soviet.
Kremlin berkata, tumpuannya sejak kejatuhan Bashar adalah untuk memastikan keselamatan pangkalan tenteranya di Syria dan mengekalkan misi diplomatik antara kedua-dua negara.
Sementara itu, penduduk Syria meneruskan perarakan menyambut kemenangan kumpulan pejuang di seluruh negara.
Selepas solat Jumaat pertama sejak penggulingan Bashar, para pemimpin agama berucap di hadapan ribuan orang di luar masjid, menyeru mereka menyerahkan senjata dan bersatu menyokong kerajaan baharu.
“Sejujurnya, detik ini tidak dapat digambarkan. Kami mengalu-alukan mana-mana Presiden untuk Syria, sama ada Sunni, Alawit atau Kristian, asalkan rakyat memilihnya,” kata seorang imam Masjid Al-Ajjan di Latakia, Khaled Kamal.-REUTERS










