DAMSYIK: Pasukan pejuang Syria merampas pangkalan tentera dan hab pengedaran dadah perangsang jenis amphetamine yang membanjiri pasaran gelap di seluruh Asia Barat.
Dipimpin oleh kumpulan Hayat Tahrir Al-Sham (HTS), kumpulan itu berkata, mereka menemui sejumlah besar pil dadah Captagon dan berikrar untuk memusnahkannya.
Rabu lalu, pejuang HTS membenarkan wartawan AFP memasuki sebuah gudang berhampiran kuari di pinggir Damsyik, di mana jutaan pil Captagon disembunyikan di dalam komponen elektrik untuk dieksport.
“Selepas kami masuk dan melakukan serbuan, kami mendapati ini adalah kilang untuk Maher Assad dan rakan jenayahnya Amer Khiti.
“Kami menemui sejumlah besar peranti yang disumbat dengan bungkusan pil Captagon bertujuan untuk diseludup keluar negara. Kuantitinya sangat banyak dan mustahil untuk menegtahui jumlah sebenarnya,” kata anggota pejuang, Abu Malek Al-Shami.
Maher Assad ialah seorang komander tentera dan abang kepada Bashar yang kini melarikan diri.
Maher secara meluas dituduh sebagai dalang di sebalik perdagangan Captagon di negara itu.
Amer Khiti pula adalah ahli politik yang diletakkan di bawah sekatan oleh kerajaan Britain pada 2023 dan didakwa mengawal pelbagai perniagaan yang memudahkan pengeluaran dan penyeludupan dadah.
Captagon menjadikan Syria sebagai negara narkotik terbesar di dunia dan bahan eksport tertinggi negara itu berdasarkan anggaran yang diambil daripada data rasmi AFP semasa siasatan pada 2022.
“Kami memusnahkan dan membakarnya kerana ia berbahaya kepada manusia. Ia merosakkan alam, kehidupan dan manusia,” kata seorang lagi anggota pejuang, Khattab yang turut menegaskan HTS enggan memudaratkan negara jiran dengan mengeksport dadah itu.-AFP










