DAMSYIK: Sebuah rangkaian terowong rahsia milik keluarga bekas Presiden, Bashar al-Assad telah didedahkan selepas ia ditemui anggota pejuang dalam serbuan ke atas sebuah kawasan di Syria.
Rakaman video yang didakwa menunjukkan kediaman Mejar Jeneral Maher al-Assad, adik kepada Assad yang digulingkan, memperlihatkan tangga berwarna putih yang membawa ke bawah tanah.
Tangga tersebut disambungkan kepada dua lagi laluan yang menjunam lebih jauh ke dalam.
Rakaman seterusnya menunjukkan rangkaian terowong luas dengan siling melengkung yang tinggi.
Terdapat dakwaan terowong itu cukup besar untuk laluan trak yang membawa Captagon dan emas.
Ia turut dilengkapi dengan sistem pengudaraan, ruang tamu, bilik tidur serta pintu besi.
Maher al-Assad, yang terkenal dengan kekejamannya, memegang jawatan setaraf mejar jeneral dan mengetuai Divisyen Keempat Tentera Syria.
Namun nasibnya selepas kejatuhan rejim Assad masih belum diketahui.
Pada Ahad lalu, pasukan pemberontak Syria, Hayat Tahrir Al- Sham (HTS) berjaya memasuki Damsyik tanpa tentangan, memaksa Assad melarikan diri ke Russia selepas lebih 13 tahun perang saudara dan enam dekad pemerintahan kuku besi keluarganya.
Media rasmi Russia mengesahkan Assad dan keluarganya telah diberi suaka politik di Moscow.
Komander pasukan tersebut, Abu Mohammed al-Jilani, yang dahulunya dikaitkan dengan al-Qaeda, kini memaparkan imej lebih moderat untuk meyakinkan golongan minoriti dan negara luar tentang kewibawaannya menerajui Syria . -AGENSI










