Korea Selatan nafi keluar dekri tentera kedua

Korea Selatan nafi keluar dekri tentera kedua

PENUNJUK perasaan menyalakan lilin ketika menyertai protes untuk menggulingkan Suk Yeol di tangga bangunan Dewan Negara di Seoul, Korea Selatan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Kerajaan Korea Selatan menafikan laporan kononnya negara itu sedang bersiap sedia untuk mengeluarkan satu lagi pengisytiharan undang-undang tentera.

Komander perang khas, Kwak Jong Geun memaklumkan akan menolak untuk melaksanakan sebarang perintah sedemikian.

Jong Geun turut mendedahkan, bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong Hyun mengeluarkan arahan kepada anggota tentera supaya mengheret keluar ahli Parlimen yang datang untuk mengundi menarik balik undang-undang tentera diisytiharkan Presiden, Yoon Suk Yeol Rabu lalu.

Jong Geun berkata, beliau mengingkari arahan itu sebaliknya mengarahkan tenteranya untuk tidak memasuki kawasan ahli Parlimen bermesyuarat.

Malah, beliau juga mengarahkan anggota tenteranya supaya tidak membawa peluru hidup.

“Saya tahu ia adalah ketidaktaatan, tetapi saya tidak mengarahkan misi itu. Saya memberitahu mereka untuk tidak masuk,” katanya kepada saluran YouTube pembangkang. 

Polis negara melancarkan siasatan ke atas Suk Yeol dan Yong Hyun yang didakwa menasihatinya untuk mengisytiharkan undang-undang tentera tersebut.

Pendakwa raya kerajaan dan tentera juga memutuskan untuk menjalankan siasatan bersama terhadap keputusan undang-undang tentera tersebut.

Kelmarin, Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah mengeluarkan kenyataan akan menentang pemecatan Suk Yeol.

Tetapi selepas mesyuarat tergempar parti itu, Ketua PPP, Han Doong-hoon memaklumkan pendirian tersebut berubah selepas pihaknya  menerima bukti yang boleh dipercayai bahawa Suk Yeol mengarahkan penahanan ahli politik utama atas tuduhan anti-negara ketika beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada malam Selasa lalu.

Beliau turut menggesa Suk Yeol untuk meletak jawatan, mendakwa rakyat mungkin berada dalam ‘bahaya besar’ jika beliau kekal berkuasa.

Puluhan ribu rakyat Korea Selatan di  dijangka menyertai perhimpunan besar-besaran di pusat bandar dan kawasan sekitar Yeouido yang menempatkan bangunan Dewan Negara menjelang pengundian oleh ahli Parlimen untuk mendakwa dan menggulingkan Suk Yeol.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN