DAMSYIK: Laporan media Syria menunjukkan pesawat perang Israel melakukan berpuluh-puluh serangan di seluruh negara, termasuk di sekitar Damsyik.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di UK berkata, terdapat lebih 100 serangan ke atas sasaran tentera.
Pusat penyelidikan yang disyaki mempunyai kaitan dengan pengeluaran senjata kimia adalah antara tapak yang dibedil, menurut laporan media tempatan.
Israel berkata, pihaknya bertindak untuk menghentikan senjata daripada jatuh ke tangan pelampau berikutan penggulingan rejim Bashar al-Assad.
SOHR berkata, terdapat beratus-ratus serangan udara Israel dalam dua hari lalu, termasuk di tapak di Damsyik yang dikatakan telah digunakan untuk pembangunan roket oleh saintis Iran.
Serangan itu berlaku ketika badan pemerhati kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada pihak berkuasa di Syria untuk memastikan simpanan senjata kimia yang disyaki dalam keadaan selamat.
Tidak diketahui di mana atau berapa banyak senjata kimia yang dimiliki Syria, tetapi Assad dipercayai menyimpan stok dan pengisytiharan yang dibuatnya sebelum ini tidak lengkap.
Syria menandatangani Sijil Senjata Kimia OPCW pada 2013, sebulan selepas serangan melibatkan agen saraf sarin di Damsyik yang mengorbankan lebih 1,400 orang.-AGENSI










