BEIRUT: Hezbollah mengagihkan lebih daripada AS$50 juta (RM221 juta) dalam bentuk bantuan tunai kepada keluarga yang terkesan akibat perang Israel di Lubnan.
Langkah tersebut diambil oleh kumpulan yang disokong Iran itu untuk memperkukuhkan sokongannya selepas konflik dahsyat dengan Israel.
PENDUDUK LUBNAN TERIMA PAMPASAN
Pemimpinnya, Naim Qassem berkata, setiap individu akan menerima bayaran antara AS$300 hingga AS$400 (RM1,328 hingga RM1,771).
Jumlah keseluruhan sumbangan itu dijangka melebihi AS$77 juta (RM340 juta) apabila diagihkan sepenuhnya kepada 233,500 keluarga mendaftar.
Dalam ucapan yang dirakam kelmarin, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Iran terhadap sokongan kewangan yang diberikan untuk Hezbollah.
Naim berkata, Hezbollah juga akan menyediakan pembayaran secara sekali gus sebanyak AS$8,000 (RM35,425) kepada mereka yang kehilangan rumah akibat perang.
Beliau memaklumkan, sebanyak AS$6,000 (RM26,569) diperuntukkan untuk bayaran sewa setahun bagi penduduk yang tinggal di Beirut atau kawasan pinggir bandarnya.
Sebanyak AS$4,000 (RM17,713) pula akan diberikan kepada penduduk yang terpaksa tinggal di luar ibu kota sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah.
Katanya, bayaran tersebut akan dibiayai terutamanya oleh Iran.
Serangan udara Israel meranapkan kawasan majoriti Syiah yang menjadi pangkalan sokongan Hezbollah, termasuk pinggir selatan Beirut serta wilayah selatan dan timur Lubnan.
Gencatan senjata untuk konflik selama 14 bulan berkuat kuasa pada akhir November, walaupun Israel dituduh oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perancis dan Lubnan melanggar perjanjian tersebut.
Rejim Israel mendakwa ia hanya menguatkuasakan syarat perjanjian dan turut menuduh Hezbollah melanggarnya.
Susulan perkembangan gencatan senjata, Naim berkata, Hezbollah kini menumpukan perhatian kepada usaha pembinaan semula kawasan terjejas.
Menurut Bank Dunia, hampir 100,000 rumah di Lubnan rosak sebahagian dan sepenuhnya sepanjang konflik tersebut, dengan jumlah kerugian dianggarkan bernilai AS$3.2 bilion (RM14.16 bilion)
Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Lubnan, Imran Riza turut dilaporkan turun padang memeriksa kemusnahan yang disebabkan oleh pengeboman Israel di sekitar bandar Nabatieh di selatan Lubnan.
ISRAEL LANGGAR GENCATAN SENJATA
Sementara itu, Tentera Israel dilaporkan melanggar perjanjian gencatan senjata dengan melakukan 12 serangan baharu di wilayah Lubnan sejak ia dikuatkuasakan minggu lalu.
Menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA), serangan tersebut dikesan berlaku di daerah Tyre, Marjayoun, dan Bent Jbeil di selatan Lubnan, selain di ibu negara Beirut.
Antara pelanggaran yang dilaporkan termasuk pemusnahan kediaman, serangan meriam, tembakan, serangan dron, serta penerbangan pesawat perang di ruang udara Lubnan pada altitud rendah.
Menurut NNA, sebuah dron Israel menyerang kenderaan di bandar Majdalzoun di daerah Tyre, manakala tentera Israel juga melepaskan tembakan meriam ke dataran Marjayoun sebanyak tiga kali dalam tempoh 24 jam.
Mesingan Israel turut melepaskan tembakan ke kawasan kediaman di Bent Jbeil, memusnahkan beberapa rumah di bandar Khiyam dan melancarkan serangan ke kawasan Kfarkela.
Di samping itu, pesawat perang Israel dilihat terbang rendah di ruang udara Beirut serta kawasan selatan Lubnan, menurut laporan wartawan Anadolu.
Sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai minggu lalu dengan tujuan menamatkan 14 bulan pertempuran antara tentera Israel dan kumpulan Hezbollah, Lubnan telah melaporkan 129 pelanggaran dilakukan oleh Israel.
Menurut kiraan Anadolu berdasarkan data Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 14 orang terkorban manakala 13 lagi cedera akibat serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Di bawah perjanjian tersebut, Israel diwajibkan menarik balik tenteranya ke selatan Garis Biru, iaitu sempadan de facto secara berperingkat, manakala tentera Lubnan perlu ditempatkan di selatan negara itu dalam tempoh maksimum 60 hari.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan, sejak Oktober 2023, lebih 4,000 orang terbunuh dan 16,500 lagi cedera dalam serangan Israel di Lubnan, dengan hampir satu juta penduduk menjadi pelarian. -REUTERS










