Bayi meninggal dunia disyaki tertukar, hospital tanggung kos ujian DNA

Bayi meninggal dunia disyaki tertukar, hospital tanggung kos ujian DNA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pihak pengurusan Hospital Islam Jakarta Cempaka Putih mengadakan pertemuan bersama ibu bapa kepada seorang bayi yang meninggal dunia sehari selepas dilahirkan apabila mereka mendakwa bayi tersebut telah tertukar selepas kuburnya dibongkar.

“Alhamdulillah, hari ini kami mencapai kata sepakat dalam suasana penuh kekeluargaan. Hospital Islam Jakarta Cempaka Putih akan menguruskan proses pemeriksaan DNA bagi mengungkap kebenaran,” kata Pengarah Utama hospital berkenaan, Jack Pradono Handojo, dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi hospital tersebut, semalam.

Tambah Jack, pihak hospital komited untuk menanggung sepenuhnya kos ujian DNA yang dijalankan di makmal pilihan dan beliau berharap usaha itu akan membawa penyelesaian yang baik kepada semua pihak.

Sementara itu, bapa kepada bayi tersebut, yang hanya dikenali sebagai MR, 27, memohon maaf kerana telah menularkan isu bayi tertukar itu di media sosial dan menyatakan kesediaannya untuk menjalani ujian DNA yang disediakan oleh pihak hospital.

“Saya dan isteri akan menjalani ujian DNA. Saya juga memohon maaf atas sebarang ketidakselesaan yang ditimbulkan,” katanya.

Tambah MR, isterinya mula mengalami kesakitan pada September lalu dan beliau segera membawa isterinya ke sebuah klinik di kawasan Cilincing, Jakarta Utara.

Bagaimanapun, pihak klinik merujuk isterinya ke Hospital Islam Jakarta Cempaka Putih selepas mendapati air ketuban telah kering dan memerlukan rawatan lanjut.

Pada 16 September, isterinya menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi perempuan mereka namun selepas kelahiran, keluarga tidak dibenarkan melihat bayi tersebut dengan alasan ia memerlukan rawatan rapi.

Sehari kemudian, MR diberitahu bayinya telah meninggal dunia namun, beliau tidak sempat melihat keadaan bayinya kerana hanya menerima jasad yang sudah siap dikafan, sebelum diminta segera menguruskan pengebumian.

Kejadian mencetuskan keraguan apabila isterinya meminta kubur bayi itu dibongkar dan setelah mendapat kebenaran, mereka terkejut mendapati keadaan jasad bayi itu tidak selari dengan catatan perubatan.

“Bayi kami sepatutnya berukuran lebih 47 cm, tetapi jasad itu panjangnya antara 60 hingga 80 cm. Itu bukan bayi berusia sehari,” kata MR.

Kes ini kini menanti keputusan ujian DNA untuk merungkai persoalan sebenar. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN