NEW DELHI: Kerajaan negeri Assam di timur laut India menguatkuasakan larangan memakan daging lembu di tempat awam, termasuk di restoran dan majlis keramaian.
Menurut Ketua Menteri, Himanta Biswa Sarma, langkah baharu ini merupakan lanjutan kepada peraturan sedia ada yang sebelum ini melarang penjualan daging lembu berhampiran tempat ibadat tertentu seperti kuil.
Bagaimanapun, orang ramai masih dibenarkan membeli daging lembu dari kedai dan memakannya di rumah atau premis persendirian.
Isu hidangan tersebut amat sensitif di India memandangkan lembu dianggap suci oleh penganut Hindu, yang membentuk 80 peratus daripada populasi negara itu.
Beberapa negeri yang diperintah oleh parti nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party (BJP), termasuk Assam, mula mengetatkan larangan terhadap penyembelihan lembu sejak beberapa tahun lalu.
Ketika ini, dua pertiga daripada 28 negeri di India, kebanyakannya di bawah pentadbiran BJP, telah mengenakan larangan separa atau penuh terhadap aktivi penyembelihan dan memakanan daging lembu.
Di banyak kawasan di India, sesetengah kumpulan dilaporkan menguatkuasakan larangan ini secara ganas, termasuk serangan terhadap penjual dan peniaga Islam serta golongan Dalit yang menjadikan daging lembu sebagai makanan ruji kerana harganya murah dan mudah didapati.
Di Assam, larangan penjualan dan pembelian daging lembu telah diperkenalkan pada 2021 di kawasan yang didiami oleh penganut Hindu, Jain, dan Sikh.
Tambah Sarma, larangan baharu memakan daging lembu di tempat awam akan ditambah dalam undang-undang sedia ada.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas parti pembangkang utama India, menuduh Sarma menggunakan isu daging lembu untuk memenangi pilihan raya kecil di Samaguri, sebuah kawasan majoriti Islam.
Kenyataan itu kemudian mencetuskan perbalahan politik, dengan Sarma berkata, beliau bersedia untuk melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap daging lembu di negeri itu jika itu kehendak Kongres. -AGENSI










