Assad tagih sokongan sekutu selepas kekalahan di Aleppo

Assad tagih sokongan sekutu selepas kekalahan di Aleppo

KUMPULAN pemberontak antikerajaan tiba di lebuh raya berhampiran bandar Azaz di utara Syria.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Presiden Syria Bashar al-Assad menagih sokongan daripada sekutunya selepas kumpulan pemantau memaklumkan serangan mengejutkan pemberontak menyaksikan tentera kerajaan kehilangan kawalan ke atas Aleppo buat kali pertama sejak bermulanya perang saudara di negara itu.

Perikatan pemberontak menyerang tentera kerajaan yang disokong Iran dan Russia Rabu lalu pada hari sama gencatan senjata berkuat kuasa di negara jiran Lubnan. 

Menjelang Ahad, mereka telah menguasai sebahagian besar bandar kedua terbesar di negara itu dan kini bergerak ke arah Hama di selatan.

“Kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan puak bersekutu kini menguasai bandar Aleppo, kecuali kawasan kejiranan yang dikawal oleh tentera Kurdish.

“Buat pertama kali sejak perang saudara bermula lebih sedekad lalu, bandar kedua negara itu tidak tidak lagi dikawal tentera rejim Syria.

“Pemberontak sudah menguasai berpuluh-puluh bandar di seluruh utara, termasuk Khan Sheikhun dan Maaret al-Numan, kira-kira separuh jalan antara Aleppo dan Hama,” kata Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman.

Ketua Pasukan Demokratik Syria yang disokong AS, Mazloum Abdi dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah memindahkan penduduk Kurdish di wilayah Aleppo ke kawasan selamat.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dilaporkan terbang ke Damsyik untuk bertemu Assad dan beliau menegaskan Teheran akan terus menyokong kerajaan dan tentera Syria.

Selepas rundingan itu, Assad menekankan kepentingan sokongan sekutunya itu dalam menghadapi serangan pemberontak yang disokong negara asing.

Araghchi kemudian mendarat di Ankara, di mana beliau bertemu dengan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan sebelum mengadakan perbincangan dengan Presiden, Recep Tayyip Erdogan.

Sejak semalam, pesawat pejuang Syria dan Russia melancarkan beberapa serangan maut untuk menyokong tentera kerajaan, mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang di Aleppo dan sembilan orang awam di kubu pemberontak Idlib.

Menurut agensi berita Sana, pesawat itu juga memusnahkan konvoi besar kenderaan yang membawa peluru dan peralatan pemberontak di Idlib.

Gambar-gambar yang dirakam media di wilayah berkenaan turut menunjukan mayat di sebuah hospital dan beberapa kenderaan hangus di kawasan jalan raya.

Pertempuran terbaharu itu membunuh lebih 412 orang, kebanyakannya anggota kumpulan pemberontak  termasuk sekurang-kurangnya 61 orang awam.

Balai pemantauan berkata, tentera kerajaan mengukuhkan kedudukannya di sekitar bandar keempat terbesar Syria di Hama dan mengerahkan pasukan bantuan ke utara dan wilayah sekitarnya.

Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Perancis, Jerman dan Britain turut mengeluarkan kenyataan menyeru ketegangan di Syria segera diredakan dan perlindungan diberikan kepada orang awam dan infrastruktur.

“Kemelut yang semakin memuncak ini menekankan keperluan mendesak untuk penyelesaian politik yang diketuai oleh rakyat Syria, selaras dengan UNSCR 2254,” jelas kenyataan itu merujuk kepada resolusi PBB 2015 yang menyokong proses damai di Syria.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN